Friday, April 30, 2010

Mari Belajar Cara Australia Jadikan Perpustakaan Milik Masyarakat

Mari Belajar Cara Australia Jadikan Perpustakaan Milik Masyarakat

BUDAYA membaca sebenarnya adalah satu sikap yang sukar dipupuk walaupun dalam mana-mana masyarakat sekali pun. Sikap ingin menambah pengetahuan terutama selepas zaman persekolahan merupakan bukan sesuatu perkara yang mudah dilaksanakan.

Bagaimanapun, cara Australia memajukan perpustakaannya dan cara mereka menarik masyarakat mendampingi perpustakaan sangatlah unik dan wajar diteladani oleh kita semua.

Pengalaman saya meninjau ke beberapa buah perpustakaan terutamanya perpustakaan desa di sekitar Victoria, banyak membuka mata saya, bagaimana sistem di sini memupuk budaya ingin membaca berlaku walaupun tanpa wujudnya kempen-kempen tertentu.

Perpustakaan awam di Australia didirikan di setiap daerah, tanpa mengira bilangan populasi setempat. Ini bermakna walaupun populasi di sesuatu tempat tidak sampai satu ribu penduduk pun, tetap diadakan sebuah bangunan khusus untuk perpustakaan.

Pengurusan perpustakaan diletakan di bawah seliaan kewangan perbandaran tempatan. Yang menariknya, setiap perpustakaan tidak mempunyai sebarang dana tertentu untuk menjalankan apa jua aktiviti yang direncanakan, melainkan gaji tetap para pekerja pustakaan tersebut.

Dan untuk menjadi ahli di mana-mana perpustakaan di sini, tidaklah sesusah di Malaysia. Keahlian tidak memerlukan sebarang gambar passport ataupun penjamin, apatahlagi mengisi borang-borang yang menyusahkan.

Secara tidak langsung, peraturan yang longgar ini dapat manarik minat masyarakat setempat untuk menjadi ahli perpustakaan. Apatahlagi peraturan-peraturan yang disediakan cukup mesra pengguna.

Perpustakaan dibuka untuk kegunaan semua orang, tidak kira sama ada anda merupakan ahli ataupun bukan. Kelebihan menjadi ahli adalah sekadar untuk pinjaman dan penggunaan peralatan alatan.

Lebih menarik, bila anda mendaftar untuk sesebuah perpustakaan awam, secara automatis anda menjadi ahli untuk kesemua perpustakaan yang terdapat di daerah tersebut. Anda boleh meminjam sebuah buku di perpustakaan A dan menghantarnya ke perpustakaan B, menarik bukan?

Tambah teruja, perkhidmatan penghantaran dan pengambilan buku/video/cd ke rumah sebagai perkhidmatan tambahan, tanpa dikenakan sebarang caj tertentu. Maka secara tidak langsung anda tidak ada sebarang alasan untuk tidak membaca.

Perpustakaan di sini tidak menegah untuk membuat bising, sesuatu yang pastinya kita tidak akan jumpa di mana-mana perpustakaan pun di dunia mungkin. Bagi masyarakat Australia, perpustakaan tidak perlu senyap, kerana bagaimana ilmu dapat disalurkan tanpa adanya diskusi dan interaksi.

Perpustakaan juga menyediakan perkhidmatan membantu menyiapkan kerja sekolah - satu tarikan utama untuk golongan pelajar, untuk datang ke perpustakaan. Perkhidmatan ini juga disediakan secara percuma.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur mahupun latarbelakang seseorang. Menariknya, mereka menggalakkan penggunaan internet, permainan video malah PS (Play Station) mahupun WII (Nintendo) disediakan - mungkin juga sebagai satu daya penarik agar golongan muda mengunjungi perpustakaan.

Bayangkan setiap hari ada sahaja aktiviti dijalankan, dari kelas membaca sehingga ke kelas komputer, secara tidak langsung mengamit orang untuk datang ke perpustakaan. Di samping itu setiap persatuan sejarah setempat diletakkan di bawah seliaan perpustakaan.

Bayi (di bawah umur 2 tahun) juga telah disediakan aktiviti tertentu, agar dapat dipupuk dari awal sikap ingin tahu, budaya membaca dan budaya bersosial.

Kesimpulannya, semua ini secara tidak langsung melibatkan masyarakat setempat, dalam berkongsi pengalaman dan menyalurkan ilmu kepada yang lain. Setiap aktiviti bukan sahaja dijayakan oleh perpustakawan malah para sukarelawan yang tidak dibayar, bersama-sama mengemblengkan tenaga untuk menjayakan sesuatu aktiviti.

Duit mahupun dana bukan penghalang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti. Masyarakat setempat tidak memerlukan makanan percuma untuk hadir sesuatu aktiviti, mahupun t-shirt tanda kenangan ataupun sijil kehadiran.

Pengguna perpustakaan amat dahagakan ilmu, bukannya cenderahati. Penceramah juga tidak menuntut sebarang saguhati atau honorari, kerana kesedaran tanggungjawab sosial yang tinggi.

Perpustakaan bukan sekadar tempat lambakan buku, ia dijadikan tempat tumpuan setempat. Tempat perbincangan dan tempat untuk berkongsi pengalaman. Pendek kata perpustakaan janganlah terlampau menakut-nakutkan pengguna, dengan peraturan-peraturan yang rigid.

Ilmu janganlah dijadikan terlampau eksklusif hanya untuk golongan tertentu sahaja dan janganlah sama sekali kita menjadikan duit sebagai penghalang untuk maju ataupun melakukan sebarang aktiviti-aktiviti.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan Honarary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au

Dipetik dari blog Dr Lo'Lo'

Thursday, April 29, 2010

Forum Hari Pekerja

Forum sempena hari pekerja akan di adakan oleh PAS cawangan Seksyen 18 Shah Alam.

Tarikh : 30 April 2010
Masa : Selepas Isyak
Tempat : Markaz PAS Seksyen 18 Shah Alam
Panel :
1. Dato Tuan Ibrahin Tuan Man
2. YB Ir Khalid Samad
3. Ketua AMK selangor.

Urusetia :
Unit Amal Shah Alam
AJK PAS seksyen 18 timur.

Saturday, April 10, 2010

Tawaran Biasiswa Kerajaan Republik Indonesia Bagi Pelajar Ijazah Sarjana Sesi Akademik 2010/2011

Kerajaan Republik Indonesia menawarkan biasiswa melalui Kementerian Pendidikan Nasional Republik Indonesia kepada pelajar-pelajar dari negara-negara yang menganggotai Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana di universiti-universiti sekitar Indonesia.

Biasiswa dibawah Developing Countries Partnership (DCP) ini menawarkan calon-calon bagi Ijazah Sarjana untuk mengikuti pengajian di kalangan 13 universiti terpilih di Indonesia selama 3 tahun. Calon-calon dikehendaki mengikuti program persediaan dan pengenalan kepada Bahasa Indonesia untuk tahun pertama dan seterusnya mengikuti pengajian dalam bidang berkaitan selama 2 tahun.

Borang dan dokumen yang lengkap hendaklah dikemukakan ke Bahagian Biasiswa, KPTM sebelum atau pada 20 April 2010 ke alamat berikut:

SETIAUSAHA BAHAGIAN
BAHAGIAN BIASISWA
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
ARAS 4, BLOK 1, MENARA PjH, PRESINT 2
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62100 PUTRAJAYA
( u.p. : Unit Biasiswa)

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi :

UNIT BIASISWA
BAHAGIAN BIASISWA
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
ARAS 4, BLOK 1, MENARA PjH,
PRESINT 2
62100 PUTRAJAYA
(u.p. : Puan Nureezan / Puan Shamimi )
Tel. : 03-8884 4608/ 4725
Faks : 03-8884 4701

Monday, March 15, 2010

Belajar Di USA Untuk Lepasan SPM dan STPM

Terdapat IPT di USA yang menjalankan polisi 'Need Blind". Polisi ini membolehkan pelajar membayar yuran setakat mana yang mereka mampu. Sebagai contoh, yuran pengajian setahun ialah RM90,000. Pelajar hanya mampu membayar RM7,000 setahun. Maka, baki RM83,000 tidak perlu dibayar oleh pelajar. Ia dianggap sebagai biasiswa oleh IPT. Pelajar perlu mengemukakan keputusan SAT yang baik untuk diterima masuk ke IPT itu. Senarai IPT di USA yang membuka polisi "Need Blind" kepada pelajar antarabangsa ialah seperti berikut:

• Williams College
• Harvard University
• Middlebury College
• MIT
• Princeton University
• Yale University

Wednesday, March 10, 2010

Benarkah Terdapat Kekurangan Pekerja Tempatan Untuk Sektor Restoran Sehingga Pekerja Asing Perlu Diambil?

J. Suresh ialah penolong setiausaha Malaysian Indian Restaurant Owners’ Association mengatakan terdapat 20,000 kekosongan di 1,100 restoran-restoran India di seluruh negara. Daripada 10 pemanggil yang bertanyakan peluang kerja, sebahagian besar tidak membuat panggilan susulan selepas panggilan telefon yang pertama. Dia berpendapat pemanggil-pemanggil itu tidak berminat untuk bekerja di restoran India. Manakala presiden Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata terdapat 25,000 kekosongan di 2,000 restoran-restoran nasi kandar di seluruh negara. Dia berkata kekosongan itu sukar dipenuhi kerana pencari-pencari kerja mempunyai alternatif di sektor lain. Setakat ini hanya terdapat 80 pertanyaan mengenai peluang kerja di outlet-outlet nasi kandar. Pada 10 Februari 2010, Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) mengumumkan akan menawarkan skim gaji yang menarik untuk menarik perkerja tempatan bekerja di outlet nasi kandar. Noorul Hassan berkata gaji pembantu restoran ialah di antara RM800 hingga RM1,300 sebulan. Gaji juruwang ialah di antara RM1,000 hingga RM1,300 sebulan. Gaji penyelia ialah di antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan. Pekerja juga akan menerima manfaat lain seperti penginapan percuma, makan tiga kali sehari, potongan EPF dan SOCSO serta satu hari kelepasan mingguan (The Star 27 Februari, 2010, Poor response to job offers in nasi kandar and Indian restaurants).

Pengarah Urusan Restaurant E & Y Sdn Bhd, Ansari Yacoob berkata mereka akan terus menyertai pameran kerjaya untuk mendapatkan pekerja tempatan namun usaha mereka masih belum berhasil. Restoran itu menawarkan gaji RM900 sebulan serta penginapan dan makan percuma. Elaun kerja keras juga akan diberi. Ansari Yacoob berkata berkata kekosongan itu sukar dipenuhi kerana pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja shif 12 jam (The Star 28 Februari, 2010, Malaysians shun work in restaurants).

Kedai kopitiam Cina tradisional juga menghadapi masalah serupa. Tang Sui Kee, pengerusi Petaling Jaya Coffee Association berkata pekerja tempatan malu bekerja di kedai kopi kerana kerjanya susah dan tidak dihormati orang. faktor lain ialah gaji. (The Star 28 Februari, 2010, Kopitiam workers wanted).

Soalnya benarkah restoran-restoran itu menawarkan gaji dan faedah sampingan seperti yang didakwa? Ada restoran memaksa pekerja membayar harga makanan yang disediakan. Bagaimanakah keadaan penginapan pekerja yang disediakan? Bekerja shif 12 jam perlu mematuhi Akta Kerja 1955. Adakah pekerja dibayar elaun lebih masa? Adakah majikan mematuhi akta-akta berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan? Kes Liang Jee Keng V. Yik Kee Restauran Sdn Bhd, [2002] 2 CLJ 750, Palanisamy Pillai V. Musa Ibrahim & Anor, [1984] 2 CLJ 340 (Rep) [1984] 1 CLJ 34, dan sebagainya boleh menjadi pedoman.

Monday, March 8, 2010

Biasiswa Master Dari Maxis

Maxis Scholarship For Excellence ialah skim biasiswa untuk rakyat Malaysia yang telah mendapat tempat di IPT ternama di seluruh dunia. Senarai IPT ternama di seluruh dunia berdasarkan kepada senarai yang dikeluarkan oleh QS Quacquarelli Symonds. Senarai itu boleh didapati di laman ini.

Bidang-bidang yang akan ditaja ialah seperti berikut:

1. Life Sciences and Engineering
2. Medicine
3. Business and Management Studies
4. Law and Government Studies
5. The Performing Arts

Kriteria pemilihan ialah seperti berikut:

1. Berumur kurang dari 30 tahun
2. Memperolehi sekurang-kurangnya kepujian kelas dua atas di peringkat ijazah pertama.
3. Mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya 3 tahun
4. Mengapresiasi dan berminat dengan hal ehwal semasa seperti pengetahuan am mengenai kerangka perlembagaan dan undang-undang Malaysia, ekonomi, inisiatif kerajaan dan falsafah pembinaan bangsa
5. Mempamerkan penglibatan berterusan dalam aktiviti ko-kurikulum seperti sukan individu atau berpasukan, khidmat sukarela, ahli persatuan atau pertubuhan yang diiktiraf selain dari cemerlang dalam akademik, kerja sosial atau sumbangan lain yang serupa.
6. Mempunyai tret sebagai duta negara, dengan ciri-ciri kesetiaan dan kekitaan yang sesuai. Juga bukti mempunyai matlamat dan tujuan hidup yang jelas serta kebolehan mengurus visi

Maklumat lanjut mengenai biasiswa Maxis Scholarship For Excellence boleh didapati di laman ini atau pada talian 1 300 82 1717 atau e-mel scholar@maxis.com.my