Showing posts with label bisnes kecil. Show all posts
Showing posts with label bisnes kecil. Show all posts

Tuesday, May 20, 2008

Umat Islam Perlu Bersungguh Dalam Perniagaan - Taulan Rasul

ALOR STAR, 20 Mei (Hrkh) - Mencari rezeki melalui perniagaan perlulah dengan usaha yang bersungguh-sungguh mengikut panduan Islam selain pergantungan harap semata-mata hanya kepada Allah. Demikian antara intipati ucapan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohamed Taulan Mat Rasul dalam satu majlis bersama penjaja kecil yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, perniagaan adalah suatu urusan yang memerlukan ketabahan dan kerajinan.

"Sebab itulah orang Inggeris memanggil meniaga ini business, ia busy yakni sibuk. Sebab sibuk itulah orang meniaga ini kaya raya," terang beliau.

Peniaga boleh menambah rezeki kerana katanya Islam itu cukup mudah. Jelasnya mudah yang dimaksudkan adalah ruang memohon daripada Allah SWT.

"Tuan-tuan minta rezeki minta daripada Allah SWT, bukan minta daripada saya, bukan minta daripada (majlis) bandaran, bukan minta daripada orang, bukan minta dari persatuan, tapi minta kepada Allah SWT. Rezeki kita Allah SWT yang beri,"tegasnya.

Mohamed Taulan turut menyentuh kepentingan solat sunat Dhuha yang berkait kepentingan memohon rezeki.

"Lepas kita sembahyang subuh ada satu lagi sembahyang iaitu sembahyang dhuha. Ini untuk minta rezeki. Pun begitu ia bukan sembahyang yang wajib. Tapi jika kita buat kita bukan sahaja dapat pahala, tapi kita juga dapat rezeki daripada Allah SWT.

"Sembahyang itu biasa saja, tapi doanya itu. Dalam doanya itu kita minta daripada Allah SWT rezeki yang jauh didekatkan, rezeki yang susah itu mudahkan, rezeki yang di atas langit diturunkan, yang di bumi ditimbulkan, yang haram itu dihalalkan, itu (sebahagian) doanya. Ini lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT serta menjauhkan kita daripada perkara-perkara tidak elok,"terangnya lagi.

Tambah beliau, PAS yang menerajui Kerajaan Kedah hendak memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat serta mengeluarkan rakyat daripada dosa.

"Apabila kita mengadap Allah SWT, Dia tidak tanya soal duit dan harta. Yang Dia tanya pahala banyak mana yang dibawa dari dunia.

"Kerana itu kita meniaga, berniagalah cara ikhlas, jujur, barang baik, harga yang berpatutan," nasihatnya.

Dalam keadaan harga barang yang mahal dan kos penyediaan yang semakin meningkat sekarang ini, maka peniaga katanya mestilah meletakkan harga yang berpatutan.

"Islam mengajar kita mencari untung, misalnya barang modal RM 1, boleh jual maksimum RM 3. Maknanya 200 peratus kita boleh naik. Tidak boleh lebih daripada itu," tegas beliau.

Menurut Mohamed Taulan lagi untuk maju peniaga perlu memperkenalkan barang atau produk sendiri. Misalnya makanan, beliau berkata masyarakat hari ini pertamanya mementingkan makanan yang dibeli sedap, keduanya bersih dan ketiganya murah.

Bagaimanapun jelasnya, murah ini sesuatu yang relatif, oleh itu tegasnya harga mesti sesuai dengan barang yang didagangkan.

"Oleh itu jangan jual barang yang tidak berkualiti, atau barang yang tidak setaraf dengan yang kita iklankan.

"Kalau barang itu buat daripada cotton katakan cotton, kalau buat daripada sutera katakan sutera. Jangan kata barang itu original sedangkan datang daripada Thailand. Kita nak kejujuran dalam meniaga," perinci beliau.

Tegas beliau, oleh kerana rezeki daripada Allah SWT, maka perlunya juga mencontohi Nabi SAW dalam menjalankan perniagaan.

"Macam mana dia (Nabi SAW) boleh berniaga sedangkan itu barang orang lain? Ini kerana dia jujur. Dia terangkan kepada orang mengenai barang ini macam ini, mahu barang macam ni harganya begini. Ini contoh yang diajar oleh Islam," terangnya lagi.

Oleh Izwan Abdul Halim
Dipetik dari laman Harakahdaily

Sunday, May 11, 2008

Menjalankan Bisnes di Peringkat Global


Saya baru selesai membaca buku Doing Business Anywhere oleh Tom Travis hari ini. Saya membelinya dalam bulan Julai 2007.

Buku ini menerangkan tentang asas-asas untuk menjalankan bisnes di peringkat global. Banyak perkara yang disentuh oleh buku ini tidak diajar di universiti-universiti tempatan. Buku ini sesuai untuk pensyarah, pelajar, CEO dan eksekutif kanan syarikat, pemilik bisnes kecil dan pegawai kerajaan. Pemilik bisnes kecil atau bisnes keluarga dapat mengambil manfaat dari buku ini kerana menjalankan bisnes di peringkat global bukanlah monopoli syarikat-syarikat besar sahaja. Bisnes kecil dan bisnes keluarga pun boleh beroperasi di peringkat global. Syarikat boleh menjual produk serta perkhidmatan atau mendapatkan sumber bekalan di seberang laut.

Buku ini menerangkan tentang bagimana hendak memanfaatkan penjanjian-perjanjian perdagangan antara negara untuk keperluan syarikat. Buku ini juga menerangkan tentang pentingnya menjaga jenama dan reputasi syarikat. Bisnes yang berpegang kepada etika memberi kelebihan apabila beroperasi di peringkat global. Aspek sekuriti penting untuk syarikat. Buku ini menerangkan tentang prinsip untuk menjaga sekuriti produk. Bencana berlaku secara tiba-tiba. Syarikat menghadapi bencana secara kreatif supaya operasi syarikat tidak terjejas. Walaupun syarikat merancang secara strategik, namun bencana boleh melanda bila-bila masa. Tindakbalas yang pantas dan kesediaan syarikat untuk menghadapi bencana dapat mengurangkan kesan dari bencana yang berlaku.

Buku ini juga menerangkan tentang pentingnya bersemuka dan selalu berhubung dengan klien atau pembeli. Walaupun kita dapat berhubung dengan klien atau pembeli melalui e-mel, telefon atau sidang video, namun cara itu tidak mencukupi walaupun ia canggih dan dihasilkan melalui teknologi terkini. Pekerja-pekerja yang berkaliber banyak membantu apabila kita pergi mengunjungi klien atau pembeli di luar negara. Dikejutkan oleh panggilan telefon pada lewat malam atau awal pagi ialah perkara biasa apabila kita mempunyai klien atau pembeli di luar negara. Ini kerana Malaysia berada di zon waktu yang berbeza dengan banyak negara.

Friday, February 8, 2008

Memilih Pekerja

Nabi Musa as mempunyai ciri-ciri pekerja yang baik. Maksud firman Allah dalam surah al Qasas ayat 26 iaitu "....sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".

Memilih Majikan

Nabi Syuaib as ialah seorang majikan yang baik. Dia juga pandai memilih pekerja yang sesuai. Maksud firman Allah dalam surah al Qasas ayat 27 iaitu "....engkau bekerja denganku selama lapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".

Wednesday, January 23, 2008

Motivasi Diri Sendiri

J. Richard Hackman dan Greg R. Oldham mengenalpasti lima faktor yang mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Model ini dikenali sebagai Model Ciri Kerja.

Anda boleh meningkatkan motivasi diri anda sendiri dengan cara-cara berikut:

1. Mempelbagaikan kemahiran

Memperbanyakkan menghadiri latihan dan membaca untuk mempelbagaikan kemahiran. Contohnya, jika anda seorang eksekutif purchasing, anda boleh memahirkan diri anda dengan ISO9001, ISO14001 dan OHSAS18001 supaya dapat melihat kerja daripada dimensi yang berbeza. Anda juga boleh mempelajari tentang tugas orang lain dalam organisasi anda. Ini kerana anda boleh melakukan tugas anda daripada perspektif, kemahiran dan bakat seorang eksekutif operasi atau kualiti misalnya, memberi kesan yang positif kepada tugas anda.

2. Identiti tugas

Melaksanakan sebahagian atau keseluruhan tugas mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Contohnya, anda boleh menawarkan diri anda untuk mengendalikan keseluruhan tugas atau projek jika mampu. Jika tanggungjawab anda hanya meliputi sebahagian daripada tugas, anda boleh memainkan peranan sokongan kepada bahagian-bahagian lain dalam tugas atau projek.

3. Signifikan tugas

Mengetahui sejauh mana tugas memberi kesan kepada hidup atau tugas orang lain mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Contohnya, seorang guru sampai bilapun tidak akan mempunyai produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja apabila niatnya hanya untuk mendapat gaji atau kenaikan melintang. Hasil kerja yang boleh diberikan tidak lebih dari matlamat yang telah ditetapkan. Apabila matlamat bekerja hanya untuk gaji RM2000 sebulan, nilai kerja tidak lebih dari itu. Mereka yang mempunyai matlamat seperti mencapai redha Allah atau untuk membantu anak-anak bangsa (terutama yang yatim) supaya dapat berdikari serta membantu orang lain pula, mempunyai produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja yang sangat tinggi.

4. Autonomi

Kebebasan menggunakan budi bicara sendiri dalam merancang jadual tugas peribadi dan menentukan prosedur untuk melaksanakan tugas mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Tetapi ini sukar dicapai melainkan seseorang itu dapat mempamerkan kebolehan, kemahiran dan pengetahuan yang tinggi untuk melaksanakan sesuatu tugas. Kebolehan, kemahiran dan pengetahuan boleh diperbaiki dengan menghadiri latihan dan banyak membaca. Seseorang pekerja itu juga dapat memperbaiki kebolehan dan kemahiran bekerja dengan bekerja bersungguh-sungguh dan sentiasa memperbaiki cara kerja.

5. Maklumat balas

Sentiasa dapatkan maklumat balas kepada setiap kerja yang anda lakukan daripada ketua atau rakan sekerja anda. Contohnya, "tolong hubungi saya pada talian 0X-8XXX XXXX sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai hal sekian-sekian."