Sunday, May 29, 2011

Bravo Ustaz Nasaruddin dan Ustaz Suhaimi



Bravo kepada Ustaz Nasaruddin dan Ustaz Suhaimi kerana terus-menerus menangani isu Lynas. Kedua-dua Ustaz itu menunjukkan mereka mempunyai kemampuan untuk mengaitkan aspek teknologi, kemasyarakatan dan agama kepada satu isu yang sedang ditangani. Mereka dapat melihat isu Lynas dari pelbagai sudut. Ceramah mengenai isu yang sama di seluruh Pahang dan Terengganu serta dipanjangkan ke seluruh negara dapat mencelikkan masyarakat mengenai ancaman yang sedang dihadapi. Semuga Allah menambah hidayah kepada mereka berdua dan pihak-pihak yang membantu mereka.

Monday, May 23, 2011

Orang Korporat Dengan Nelayan

Barangkali tuan puan telah membaca cerita ini. Saya ubah dalam versi Malaysia, sebagai panduan dalam hidup kita.

Ceritanya berbunyi begini.

Seorang ahli korporat berjaya mengambil percutian di tepi pantai. Tidak jauh dari chalet penginapannya, ada perkampungan nelayan. Maka dia pun berjalan ke perkampungan tersebut pada satu petang untuk mengambil angin. Kelihatan ada bot nelayan yang kecil dan bekas berisi ikan segar di dalamnya. Dia pun menyapa seorang nelayan di situ.

Ahli korporat: Ikan di sini sangat segar. Sangat sedap rasanya.

Nelayan: (Tersenyum) Terima kasih tuan. Rezeki Allah swt.

Ahli korporat: Bisnes ini sangat berpotensi, kamu patut bekerja dengan lebih keras dengan menangkap ikan dengan lebih banyak!

Nelayan: Apa yang saya tangkap ini lebih dari cukup untuk saya sekeluarga, malah setiap hari saya beri kepada kakak saya yang tinggal di pekan sana.

Ahli korporat: Er… Apa lagi yang kamu buat ? Kamu buat apa lagi selain menangkap ikan? (Kehairanan)

Nelayan: Selepas habis menangkap ikan, saya menghabiskan masa dengan keluarga saya khususnya anak-anak. Kemudian, saya berjumpa dengan rakan-rakan untuk membuat pelbagai aktiviti macam main gasing, wau, wayang kulit dan sebagainya. Sebelah malam pula, sekiranya tiada aktiviti masjid saya mengajar anak-anak muda bermain kompang.

Ahli korporat: Saya ada MBA. Saya boleh tolong kamu besarkan bisnes ini. Kamu seharusnya menangkap dengan lebih banyak ikan dan hasil keuntungannya kamu beli bot yang lebih besar. Kamu teruskan buat begitu sehinggalah kamu ada banyak bot. Kemudian, jangan gunakan orang tengah untuk menjual ikan. Dengan cara ini kamu akan mengawal keseluruhan supply chain. Seterusnya kamu kena keluar dari kampung ini dan membesarkan empayar bisnes yang telah kamu bina ini di perkampungan nelayan yang lain pula.

Nelayan: Berapa lama yang diperlukan untuk saya mencapai tahap itu tuan?

Ahli korporat: Lebih dari 20 tahun. Ada yang lebih menarik dari ini…! (Ketawa)

Nelayan: Apakah hal itu tuan?

Ahli korporat: Apabila sampai masa yang sesuai, kamu apungkan syarikat kamu di Bursa Malaysia, jual IPO dan jual syarikat kamu kepada orang ramai menerusi
saham-saham. Kamu bukan sekadar jadi jutawan, malah multi-millionaire!

Nelayan: Selepas saya mempunyai duit berjuta-juta, saya perlu buat apa tuan?

Ahli korporat: Kamu bersara, di tepi pantai. Kamu boleh menangkap ikan, menghabiskan masa bersama keluarga khususnya anak-anak. Kemudian, kamu berjumpa dengan rakan-rakan untuk membuat pelbagai aktiviti macam main gasing, wau, wayang kulit dan sebagainya. Sebelah malam pula, sekiranya tiada aktiviti kamu mengajar anak-anak muda bermain kompang.