Saturday, February 25, 2012

Misteri Hang Tuah Bertemu Patih Gajah Mada?

Dikatakan Hang Tuah belayar ke Majapahit untuk bertemu dengan Ratu Majapahit. Hang Tuah dikatakan dapat menewaskan Taming Sari dihadapan Ratu Majapahit dan Patih Gajah Mada. Selepas itu, keris Taming Sari menjadi milik Hang Tuah.

Tetapi siapakah Patih Gajah Mada yang ditemui oleh Hang Tuah? Patih Gajah Mada dikatakan sudah meninggal dunia ketika pemerintahan Hayam Wuruk pada tahun 1364. Patih Gajah Mada meninggal ketika berusia 74 tahun. Hang Tuah dikatakan hanya lahir pada tahun 1444. Jika Patih Gajah Mada masih hidup ketika Hang Tuah lahir, dia sudahpun berusia 154 tahun ketika itu.

Mahapatih terakhir kerajaan Majapahit ialah Tuan Kanaka. Tuan Kanaka meninggal pada tahun 1430. Ketika Tuan Kanaka meninggal, Hang Tuah masih belum lahir lagi. Yang menjadi persoalan kini ialah siapakah yang sebenarnya ditemui oleh Hang Tuah?

Sultan Mansur Shah dikatakan memerintah di antara tahun 1456 hingga 1477. Ratu Majapahit yang memerintah sezaman dengan Sultan Mansur Shah ialah Suraprabhawa (1466 hingga 1477). Adakah Suraprabhawa Ratu Majapahit yang ditemui oleh Hang Tuah?

Ataupun jika Patih Gajah Mada benar-benar wujud pada di antara tahun 1290 hingga tahun 1364, siapakah sebenarnya Hang Tuah?

Saturday, February 18, 2012

Sultan Melaka Ketagih Candu?

Menurut Tome Pires dalam Suma Oriental, Sultan-sultan Melaka iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Shah menagih candu. Candu sangat mempengaruhi pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh Sultan Mahmud Syah. Sultan Mahmud Syah bertindak kejam kerana intoksikasi candu. Maka tidak hairanlah Melaka tewas dengan mudah apabila ia di serang oleh tentera Alfonso D'Albuquerque. Pembesar-pembesar Melaka dan kerajaan-kerajaan kecil di Selat Melaka juga tidak menyukai Sultan Mahmud Syah, lalu mereka memberi bantuan kepada Alfonso D'Albuquerque untuk menjatuhkan Sultan Mahmud Syah. Lagipun Sultan Mahmud Syah tidak menghormati pandangan mereka dalam banyak perkara. Bendahara dan Laksamana Melaka mencadangkan kepada Sultan Mahmud Syah supaya berdamai sahaja dengan Alfonso D'Albuquerque. Namun, Sultan Mahmud Syah berkeras mahu menggunakan senjata ke atas Alfonso D'albuquerque. Peperangan tercetus dan akhirnya Melaka tewas.

Candu sudah wujud di Semenanjung semenjak abad ke 15 lagi. Ia bukan dikenali pada abad ke 19 walaupun perdagangan dan penggunaan candu di Semenanjung ketara pada zaman itu. Sultan-sultan dan pembesar Melaka sudah kenal dan ketagih candu pada zaman mereka.

Sultan-sultan Melaka tidak mendapat bekalan candu dari Orang Inggeris. Ini kerana Orang Inggeris belum bertapak secara rasmi di Asia Tenggara pada zaman itu. Sultan-sultan Melaka mendapat bekalan candu dari Timur Tengah seperti Aden dan Mekah(?). Oleh kerana bekalannya dari Timur Tengah, adakah ia dibekalkan oleh Orang Arab? Jika candu dibekalkan oleh Orang Arab, adakah Orang Arab juga menjadi penagih candu? Pada zaman itu, kuasa politik Orang Arab semakin merosot. Kuasa politik Orang Turki semakin menonjol. Pada tahun 1492, Bani Uthmaniyyah menawan Konstantinopel.

Saturday, February 11, 2012

Fort Canning, Singapura Dalam Pensejarahan Melayu

Fort Canning, Singapura mempunyai nilai sejarah. Fart Canning juga dikenali dengan nama Bukit Singapura atau Bukit Larangan. Orang Melayu menggelarnya sebagai Bukit Larangan kerana ia dikaitkan dengan kepercayaan khurafat Orang Melayu mengenai kubur Raja-raja Temasik zaman dulu. Raffles (1823) menyatakan bahawa ia adalah lokasi persemadian raja-raja Temasik. Tuhfat Al Nafis merakamkan bahawa Sri Tri Buana iaitu Raja Temasik yang terawal dikuburkan di sana (Brown, 1970).

Seperkara lagi yang menarik ialah sehingga tahun 2004, sebanyak 300,000 artifak dari tapak-tapak ekskavasi di seluruh Singapura sudah dijumpai (Miksic, 2006). 90% daripada artifak yang ditemui berasal dari abad ke 14 (Miksic, 2007).

Aktiviti komersil dan urbanisasi sudah wujud di Temasik pada abad ke 14. Temasik bukan semata-mata memanfaatkan perdagangan di antara Timur dan Barat. Tetapi, pada masa itu, Temasik sudah mengimport bahan mentah dan menghasilkan artifak (Miksic, 1998). Bukti ini menunjukkan Raffles bukanlah orang yang menemui Singapura. Ia pernah mencapai zaman kegemilangannya ketika Raffles belumpun lahir ke dunia.


Monday, February 6, 2012

Meluruskan Polemik Hang Tuah

Moore dan Lloyd (1989), Benjamin dan Chou (2002), Nicholas (2004), Indriatmoko (2006), Lasimbang (2007) dan Leake (2007) bersependapat bahawa Hang Tuah ialah seorang pemimpin dari kalangan etnik Orang Asli. Secara spesifik, Meilink-Rolofsz (1962) dan Windstedt (1935) menyatakan bahawa Hang Tuah ialah pemimpin Orang Jakun.

Wednesday, February 1, 2012

Minyak Masak Masih Kurang di Pasaran

Sehingga 31 Januari 2012, tinjauan mendapati bahawa minyak masak masih kurang di pasaran. Apa yang menghairankan ialah cuti Tahun Baru Cina 2012 sudah lama berlalu. Felda juga mempunyai jenama minyak masaknya yang tersendiri iaitu Saji. Tetapi minyak masak jenama Saji keluaran Felda sukar di dapati. Apabila ditinjau di kebanyakan pasaraya, minyak masak jenama Saji tidak kelihatan di rak. Kedai mamak pun tidak menjual minyak masak jenama Saji. Sebotol pun tiada. Apa yang sudah terjadi? Yang lebih menghairankan lagi ialah Felda mengendalikan kawasan penanaman sawit yang sangat besar di Malaysia. Rata-rata peneroka Felda berbangsa Melayu. Pengurusan Felda juga terdiri daripada staf yang berbangsa Melayu.

Dari sudut bisnes, inilah peluang Felda untuk membuat untung. Felda boleh mengambil manfaat dari kekurangan bekalan untuk menggandakan pengeluaran. Takkan ini pun pengurusan Felda tak faham? Bilakah Felda mampu bersaing di peringkat global?