Tuesday, May 18, 2010

Belajar Apa Tua-Tua?

Belajar Apa Tua-Tua?

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Kelmarin, Hazel Soares bersama rakan sekelasnya bergambar sebelum konvokesyen bagi mendapatkan ijazah setelah beliau berjaya menamatkan pengajian di Mills College di Oakland, California. Beliau yang berusia 94 tahun mampu menyelesaikan pengajiannya kembali setelah tamat pembelajarannya di Roosevelt High School di Oakland pada tahun 1932. Beliau yang memiliki 6 orang anak dan 40 orang cucu dan cicit merupakan orang kedua tertua berjaya lulus dari kolej.

Tiga tahun yang lalu, Nola Ochs dari Kansas telah menempa nama sebagai lulusan Universiti yang tertua di dunia dan dicatat dalam Guinness Book of World Records yang ketika itu berusia 95 tahun. Beliau mendapat Ijazah Master dalam Liberal Studies dari from Fort Hays State University.

Ia menjadi suntikan semangat kepada semua bahawa usia bukannya halangan dalam menggapai kejayaan dalam pendidikan. Apa yang penting adalah semangat, keinginan dan kesungguhan. Sebenarnya konsep pendidikan dalam Islam merupakan pendidikan sepanjang hayat. Belajar dari buaian sehingga ke liang lahad. Non Stop. Apatah lagi ilmu itu tiada tepinya dan tiadanya pelabuhan untuk berlabuh. Islam mengajar kita supaya menuntut ilmu dan mencintainya serta golongan yang terlibat dengan ilmu. Islam sendiri meletakkan mereka yang berilmu itu tinggi maqamnya selepas daripada nabi.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ

Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). (Surah al-Imran : 18)

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat, dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mujadalah : 11)

Banyak lagi ayat yang menyentuh kelebihan orang yang berilmu apatah lagi hadis-hadis yang menyebut demikian tetapi amat malang kekadang umat Islam sendiri lemah dari segi pengetahuan dan usaha untuk mencari ilmu. Pengasas kepada keilmuan adalah Islam itu sendiri. Negara umat Islam terawal telah mewujudkan universiti termasuklah yang masyhur seperti Universiti Cordova, Konstantinople maupun Universiti Al-Azhar sendiri yang telah menjangkau usia melebihi 1 ribu tahun.

Realiti kini di alaf millenium ini, negara-negara umat Islam sendiri menpunyai kadar buta huruf yang tinggi. Tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara maju mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100% semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50% di negara majoriti Islam. Bererti 50% lagi berhenti awal mahupun tidak bersekolah. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus sahaja di negara majoriti Islam.

Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam. AS mempunyai 5,758 buah universiti dan India ada 8,407. Negara-negara majoriti umat Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta! Bererti umat Islam ketinggalan jauh ke belakang. Itu belum diambil kira di mana tahap universiti umat Islam berbanding dengan umat lain.

Kalau dilihat negara kita, permasalahan timbul bukan hanya pendidikan tetapi juga sosial, ekonomi maupun politik. Kegagalan pihak memerintah menyalurkan sumber ilmu pengetahuan kepada rakyatnya. Apatah lagi apabila pendidikan sendiri menjadi satu cabang perniagaan. Kerajaan berniaga dengan rakyatnya sendiri. Rakyat terpaksa membayar kos yang tinggi untuk pembelajaran. Peluang yang terhad bahkan pelbagai diskriminasi serta campur tangan politik sempit menyebabkan status pendidikan negara jatuh merudum.

Kita sedih melihat generasi muda yang sibuk menghabiskan masa emas mereka dengan sia-sia. Sibuk dengan hiburan, merempit dan berpeleseran tanpa arah dan tujuan. Kadar celik ilmu maupun penguasaan agama yang amat cetek sekali. Inilah punca yang membawa banyak permasalahan remaja dan umat Islam kini.

Peluang dan kesempatan pembelajaran secara formal maupun tidak formal amat terhad di negara kita. Kalau ada kesempatan pun banyak pula halangan-halangan lain. Tetapi biar apapun, sikap kita sendiri merupakan faktor utama dalam usaha merebut ilmu pengetahuan. Banyak yang terkandas ditengah jalan kerana hilang daya juang dan semangat menuntut ilmu. Banyak yang merasakan cukup dengan apa yang ada. Meskipun umur masih muda belia. Apatah lagi untuk mencapai pendidikan yang lebih tinggi seperti sarjana dan Phd. Bahkan rakan-rakan dan keluarga sendiri tak membantu. Bahkan cubaan untuk melunturkan semangat makin ada. "Mengaji apa lagi tua-tua ni". Istilah yang biasa kedengaran. Sedangkan para ulama terdahulu terpaksa belayar ke Mekah untuk menuntut ilmu bahkan ada yang memakan masa 20-30 tahun baru pulang kembali ke nusantara bagi menabur ilmu yang mereka miliki.

Penulis sendiri melalui cabaran ini. Ijazah pertama di Universiti al-azhar diperolehi pada tahun 1989. Setelah 20 tahun barulah dapat peluang menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Memanglah dalam kelas kita yang tertua. Bahkan Ketua Jabatan dan sesetengah prof tu lebih muda daripada kita sendiri tetapi faktor usia guru bukannya menjadi penghalang untuk kita menuntut ilmu. Semangat yang ditunjukkan oleh nenek Hazel dan Nola ini menyuntik semangat untuk menyambung lagi pengajian keperingkat Phd, insyaAllah semoga Allah memberi jalan dan kekuatan meskipun banyak kekangan dan acapkali semangat yang tertangguh.

Dipetik dari laman Tranungkite

Komen : Buat permulaan, IPTA-IPTA di Malaysia mengecualikan 100% yuran pengajian dan lain-lain yuran kepada golongan pesara (serta mereka yang berumur 50 tahun ke atas) yang mengikuti mana-mana kursus berkaitan dengan pengajian Islam di peringkat ijazah, master dan PhD.

No comments: