Friday, September 25, 2009

Orang Melayu Dalam Pentadbiran Portugis di Melaka


Wujudkah orang Melayu dalam pentadbiran Portugis di Melaka? Alfonso de Albuquerque menerapkan sistem pentadbiran Melaka yang asal termasuk undang-undang adat ke dalam sistem pentadbirannya di Melaka. Alfonso de Albuquerque menggabungkan sistem pentadbiran Portugis dan Melaka untuk mentadbir Melaka. Orang Melayu di Melaka dapat meneruskan aktiviti-aktiviti ekonomi mereka seperti bertani dan menangkap ikan tanpa diganggu. Jawatan Bendahara dan Temenggong dikekalkan oleh Alfonso de Albuquerque. Alfonso de Albuquerque menetapkan supaya jawatan ini dipegang oleh orang Melayu sahaja. Bendahara mentadbir Melaka manakala Temenggong bertanggungjawab ke atas kewangan Melaka. Sistem ini bertahan dari tahun 1511 hingga tahun 1641. Belanda menguasai Melaka semenjak tahun 1641. Rujukan, Bailey Wallys Diffie, Boyd C. Shafer, George Davison Winius, Foundations of the Portuguese Empire, 1415-1580.

Bukti ini menunjukkan bukan semua orang Melayu menentang Portugis. Jika semua orang Melayu menentang Portugis, amat sukar untuk Portugis untuk menguasai Melaka. Dengan bantuan orang Melayu, angkatan Portugis menemui jalan mudah untuk menawan Melaka.

Dalam buku yang sama juga dinyatakan orang Portugis membawa bersama mereka 3000 pucuk meriam yang dapat ditawan dari kota Melaka. yang tinggal masih banyak lagi. Kualiti meriam-meriam itu setara dengan meriam buatan Jerman. Orang Melayu bukan tidak mempunyai teknologi. Melaka mempunyai tentera yang ramai dan kuat. Mereka mempunyai senjata yang canngih dan banyak. Namun, bukan semua orang Melayu setuju dengan kerajaan Melaka. Pendokong-pendokong konsep Ketuanan Melayu (Malay Supremacy) menimbulkan kisah pedagang-pedagang Cina dan India yang membantu Portugis menawan Melaka. Mereka juga mengatakan tentera Jawa belot. Hakikat sebenarnya, orang Melayu sendiri yang membantu Portugis menawan Melaka.

Angkatan laut Melaka terkenal hebatnya, dapat menjinakkan lanun-lanun dan Majapahit serta Siam. Tetapi, kapal-kapal Portugis dapat mudik sungai Melaka sehingga betul-betul hampir dengan pintu Kota Melaka. Tindakan ini membolehkan kapal-kapal Portugis dapat membedil kota Melaka selama 20 hari sebelum serangan sebenar bermula. Dimanakah angkatan laut Melaka ketika itu? Kenapakah kapal-kapal Portugis dapat bolos dengan begitu mudah? Ada maklumat tempatan yang menyatakan bahawa yang membedil kota Melaka itu bukan hanya kapal-kapal Portugis tetapi kapal-kapal Melaka sendiri.

Sejarah menunjukkan orang Melaka terbahagi kepada beberapa kumpulan. Yang paling masyhur ialah kumpulan yang menyokong Hang Tuah dan kumpulan yang menyokong Hang Jebat. Kumpulan yang menyokong Hang Jebat merampas kuasa dan melantik Hang Jebat sebagai pemerintah Melaka yang baru. Sultan Melaka, Bendahara dan penyokong mereka berundur ke Kelang (Selangor?) untuk berlindung dan mengumpul kekuatan. Bendahara Tun Perak mendedahkan kepada Sultan Melaka bahawa Hang Tuah belum mati. Hang Tuah bersembunyi di Hulu Melaka. Beliau memanggil kembali Hang Tuah. Hang Tuah mengumpul angkatan perang untuk menawan Melaka kembali.

Hang Tuah berasal dari Kelantan. Sebagaimana yang diketahui, Kelantan ialah sebahagian daripada Empayar Chermin yang terdiri daripada Acheh, Selatan Vietnam, Kedah, Kelantan dan Patani. Empayar Chermin merosot semasa kerajaan Melaka mencapai zaman gemilangnya. Angkatan perang yang dikumpul oleh Hang Tuah datang dari Kedah, Kelantan dan kawasan yang sekitarnya.

Cerita tentera Jawa yang belot juga tidak berasas. Orang-orang Jawa beberapa kali menyerang Melaka selepas tahun 1511. Mereka menunjukkan komitmen mereka untuk menawan kembali Melaka dari tangan Portugis. Ramai yang terkorban namun mereka terus berusaha.

Puak yang menyokong Hang Tuah dan puak yang menyokong Hang Jebat bersilih ganti menguasai Melaka.

Orang-orang Melayu yang membantu Portugis menawan Melaka sudah tentulah terdiri daripada golongan yang tidak berpuashati. Mereka golongan yang tewas dalam percaturan politik Melaka atau dipinggirkan dari arus perdana politik Melaka. Untuk menewaskan Melaka bukannya mudah. Namun, demi untuk merebut kuasa mereka bersekongkol dengan Portugis untuk menjatuhkan kerajaan Melaka.

Monday, September 14, 2009

Cita-cita



Abdullah bin Mas'ud merekodkan bahawa Nabi Muhammad pernah berkata yang maksudnya bahawa janganlah bercita-cita menjadi seperti seseorang kecuali seperti dua jenis karakter berikut. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan yang sangat banyak dan ia membelanjakan hartanya dengan adil dan sesuai dengan perintah Allah. Kedua, orang yang diberi Allah ilmu dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkan ilmunya kepada orang lain. (Bukhari)

Sunday, September 13, 2009

Nama Malaysia Sudah Wujud Semenjak 1937



Masyarakat Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tahun 1937 masih belum mengetahui bahawa nama Malaysia sudah wujud ketika itu.Mereka mengetahui hanya wujud wilayah-wilayah yang dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu, Negeri-negeri Selat serta Borneo yang merangkumi Sabah, Sarawak dan Brunei.Kesemua wilayah-wilayah itu dikuasai oleh British.Namun, pada tahun 1937, para pemikir, pembuat dasar dan intelektual Amerika Syarikat sudah menyebut-nyebut dan membincangkan nama Malaysia.Ini menunjukkan mereka sudah mengetahui kewujudan nama Malaysia sebelum tahun 1937 lagi.Untuk maklumat lebih lanjut, rujuk Emerson, Rupert. Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rules. Macmillan, New York : 1937.

Tuesday, September 8, 2009

Tolong Sampaikan Sedekahku Ini Kepada Para Pelacur ....



Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku mengagihkan harta ini?”

“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

“Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

“Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.

Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Beliau mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.

Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.

Dipetik dari blog Kerabu Bersuara