Dipetik dari laman web PAS Parit Buntar
Parit Buntar 15 Nov - Pelbagai isu mengenai pekerja swasta sering didedahkan media namun golongan ini tidak mendapat perhatian serius daripada kerajaan.
Isu seperti diberhentikan kerana kegawatan ekonomi, gaji rendah, permohonan cuti tahunan dibekukan dan tidak menerima elaun kerja lebih masa sering dihadapi golongan berkenaan serta memerlukan pembelaan sewajarnya.
Komen Public Opinion : Standard cuti tahunan minima kebanyakan negara dalam dunia ialah 25-28 hari setahun. Manakala standard cuti bersalin ialah 14 minggu.
Perkara itu diakui sendiri bekas pekerja swasta, Abdul Razak Ahmad yang diberhentikan oleh majikannya dengan alasan kilang bakal ditutup.
Menurutnya, pihak majikan sepatutnya mengambil berat dan menjaga kebajikan pekerja dengan memberi pampasan dan sebagainya namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
"Cara majikan seakan-akan pekerja swasta tidak pernah berkhidmat dengan mereka," katanya.
Seorang lagi bekas pekerja swasta, S Morgan berkata dia sudah diberhentikan kerja serta tidak menerima sebarang pampasan dan tidak tahu di mana lagi ingin mencari kerja.
"Saya telah berkeluarga dan khuatir nasib yang bakal menimpa kami kelak."
"Bagaimana kerajaan mahu membantu kami sebagai pekerja swasta yang hanya dianggap seperti anak tiri dan seakan-akan tidak ada sumbangan kepada negara langsung," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lujnah Pekerja PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa berkata, pihaknya amat berharap pihak Kementerian Sumber Manusia mengambil perhatian serius terhadap hak dan kebajikan pekerja swasta di Malaysia.
Beliau yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, Pejabat Parlimen Parit Buntar banyak menerima aduan daripada pekerja swasta terutama pekerja kilang mengenai pelbagai masalah yang timbul di tempat kerja mereka.
"Kebanyakan aduan yang diterima dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab."
"Namun, masalah pekerja ini tidak dapat diselesaikan kerana pihak majikan memberikan pelbagai alasan untuk menyokong tindakan mereka," katanya.
Menurutnya, majikan seolah-olah amat berkuasa membuat apa sahaja keputusan terhadap pekerja berkenaan.
"Pekerja pula tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana tidak terdedah dengan akta yang digubal kerajaan."
"Contoh terdekat adalah nasib pekerja Kilang Nikko Elektronics di Pulau Pinang yang diberhentikan oleh majikan tanpa diberi notis," katanya.
Bahrain berkata, seramai 375 daripada 1,000 orang yang diberhentikan itu tinggal di Parit Buntar dam Pejabat Parlimen mengambil inisiatif mengumpulkan mereka bagi mendengar masalah serta memberikan motivasi.
Katanya, Pejabat Parlimen Parit Buntar bersama Kijang Care Organization iaitu sebuah NGO dari Kelantan membantu 10 orang daripada golongan itu kerana mereka benar-benar memerlukan pertolongan.
"Kami beri bantuan wang dan barangan keperluan bagi meringankan beban mereka sebelum mendapat pekerjaan baru," katanya.
Menurutnya, pejabat Parlimen kemudiannya berurusan dengan beberapa kilang bagi mengadakan temuduga terbuka untuk membantu bekas pekerja itu.
"200 orang daripada bekas pekerja ini menghadiri temu duga tersebut dan ramai yang mendapat pekerjaan di kilang itu."
"Urusan menuntut pampasan daripada majikan mereka dilakukan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) namun proses berkenaan memakan masa yang lama," katanya.
Dia berkata, terdapat aduan yang menyatakan majikan lebih menjaga kebajikan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.
"Ini kerana, gaji pekerja asing dibayar lebih rendah daripada pekerja tempatan, sebab itu pekerja asing dijaga sebaik mungkin."
"Segelintir majikan menganggap pekerja tempatan hanya merugikan syarikat dan kerana itu mereka diberhentikan serta mengekalkan pekerja asing," katanya.
Bahrain berkata, kerajaan kurang mengambil berat kebajikan pekerja swasta sehingga menyebabkan mereka berasa dianaktirikan berbanding kakitangan awam.
"Kerajaan mengadakan kempen jangan meminjam daripada ah long, sedangkan pekerja swasta ramai berbuat demikian kerana bank sukar memberi pinjaman kepada mereka berbanding kakitangan kerajaan."
"Kerajaan sepatutnya mengarahkan institusi kewangan memudahkan prosedur pinjaman wang kepada golongan ini dan bukan hanya berkempen sahaja," katanya.
Menurutnya, kerajaan mendakwa pekerja swasta ada jaminan masa tua iaitu menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Namun, terdapat aduan pekerja swasta yang menafikan caruman KWSP dilakukan oleh majikan malah, ada yang mencarum kurang daripada kadar yang sepatutnya."
"Kerajaan perlu tegas dalam menguatkuasa undang-undang supaya majikan akur mencarum dalam KWSP dan tidak menganiaya pekerja," katanya
Bahrain berkata, kerajaan turut mendakwa pekerja swasta diberi jaminan perlindungan kemalangan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menjaga keselamatan mereka.
"Namun, pekerja yang kemalangan terpaksa berhadapan dengan pelbagai prosedur dan karenah birokrasi sebelum mendapat bayaran Perkeso."
"Kerajaan perlu mengarahkan Perkeso supaya melonggarkan sedikit prosedur agar pekerja swasta mendapat hak mereka sebagai pencarum," katanya.
Komen Public Opinion : Bayaran Perkeso memang penting. Tetapi yang lebih penting ialah sama ada majikan mematuhi betul-betul segala peraturan yang menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja seperti Akta Keselamatan dan Kesihatan pekerja 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 dan sebagainya. Keadaan sebenar yang berlaku ialah majikan selalu cuai dan kurang ikhlas untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja. Kemalangan dan kes-kes kesihatan pekerjaan boleh dielakkan apabila majikan betul-betul mengurus keselamatan dan keseihatan pekerjaan. Bayaran Perkeso ialah langkah terakhir. Langkah paling utama ialah mencegah kemalangan di tempat kerja dan kes-kes kesihatan pekerjaan. Justeru, kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu ditanam di kalangan pekerja dan majikan, sehingga slogan safety budaya kami menjadi ikutan oleh pekerja dan majikan. Pekerja juga tidak boleh teragak-agak untuk melaporkan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pejabat DOSH yang berhampiran. Akhbar-akhbar alternatif seperti Harakah, The Rocket, Suara Keadilan dan sebagainya perlu mewujudkan ruangan khas mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam setiap edisi. Anggota-anggota parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang perlu mempunyai pengetahuan yang lebih meluas terhadap isu-isu dan perkara-perkara teknikal yang melibatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Andaikata Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan selepas PRU13 nanti, diharapkan sikap mereka terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan seharusnya jauh lebih baik daripada apa yang sedang dipaparkan oleh BN sekarang ini.
Selain itu, semasa Karnival Setahun Pakatan Rakyat Parit Buntar, Lujnah Pekerja PAS Parit Buntar ada membuka kaunter penerangan hak pekerja berkenaan Perkeso tetapi ia kurang mendapat sambutan dalam kalangan pekerja swasta.
Sementara itu, katanya, dia ada menghadiri Seminar Pekerja Malaysia anjuran Lujnah Pekerja PAS Pusat di Butterworth dan salah satu resolusi ialah meminta pekerja swasta menjadi anggota kesatuan sekerja.
Menurutnya, jika dilihat pekerja swasta kurang menganggotai kesatuan sekerja dan ini adalah salah satu punca mengapa mereka kurang mendapat pembelaan.
"Sikap acuh tak acuh yang merasakan mereka tetap menikmati manfaat sama seperti ahli kesatuan walaupun tidak menganggotainya menyebabkan kesatuan sekerja lemah," katanya.
Bahrain berkata, pekerja swasta yang tidak menyertai kesatuan sekerja kurang mendapat pendedahan mengenai hak mereka sebagai pekerja.
"Mereka tidak tahu mengenai akta pekerja dan akta perusahaan malah tidak tahu peranan Jabatan Buruh serta Mahkamah Perusahaan yang membolehkan mereka mendapat pembelaan," katanya.
Dia berharap Kementerian Sumber Manusia tidak bertindak menyebelahi majikan sehingga menyebabkan hak pekerja swasta dinafikan.
"Mereka juga menyumbang kepada pembangunan negara, jadi hak dan kebajikan mereka perlu turut dijaga," katanya.
No comments:
Post a Comment