Monday, May 31, 2010

Transit Pendidikan Tinggi ke Eropah

Transit Pendidikan Tinggi ke Eropah

HASRAT menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini bukan sekadar angan-angan. Lebih-lebih lagi, apabila peranan pengajian tinggi kini diangkat ke tahap teratas.

Keputusan sebuah jaringan pendidikan swasta terbesar dunia, Laureate International Universities untuk memindahkan pejabat operasinya di Asia dari Hong Kong ke Malaysia baru-baru ini, ternyata menunjukkan Malaysia semakin diyakini untuk muncul sebagai pusat pendidikan terkemuka.

Bermula dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang bertujuan memberikan lebih autonomi kepada ahli lembaga pengarah universiti untuk merencanakan agenda institusi, kini fokus kementerian tertumpu kepada peningkatan sumbangan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 14 April lalu berkata, kementerian merancang untuk menganugerahkan status universiti penyelidikan kepada dua lagi institusi yang memenuhi kriteria.

Namun begitu, projek penyelidikan universiti yang tidak berjaya dikomersialkan atau dipatenkan hanya akan membazirkan peruntukan kerajaan sekali gus menyaksikan ia gagal menepati sasaran kementerian dalam meningkatkan pendapatan sendiri sehingga 30 peratus.

Melihat trend globalisasi dan pengantarabangsaan universiti yang kini menjadi kayu pengukur kepada kemajuan sektor pengajian tinggi, universiti tempatan tidak boleh lagi berpeluk tubuh sebaliknya perlu menjalin lebih banyak kerjasama strategik bersama rakan luar negara.

Terbaru, kerjasama strategik antara Kementerian Pengajian Tinggi bersama Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan peruntukan permulaan melibatkan Euro 575,000 (RM2.5 juta) untuk melaksanakan projek-projek MYEULINK bagi tempoh tiga tahun.

Projek baru MYEULINK bertujuan memberi kesedaran kepada kerajaan, sektor swasta, media dan masyarakat mengenai polisi yang dilaksanakan EU itu. Ia sekali gus diharapkan dapat meningkatkan kerjasama Malaysia-Eropah.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MYEULINK mampu meningkatkan profil Malaysia dalam kalangan negara EU apabila kepakaran kedua-dua pihak digandingkan sekali gus mewujudkan persefahaman dalam konteks polisi pendidikan tinggi.

Menurutnya, projek serampang dua mata itu juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pemindahan pengetahuan dan kepakaran melalui kursus-kursus latihan melibatkan sektor awam dan swasta.

"Matlamat jangka panjangnya adalah untuk menubuhkan sebuah pusat EU di Malaysia (MYEUCENTRE) yang akan mengenal pasti peluang-peluang penajaan penyelidikan di bawah rangka polisi EU serta program berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, koordinator MYEULINK, Prof. Sayed Azam Ali berkata, projek tersebut berupaya membangunkan kapasiti antara Malaysia dan EU untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti pengajaran, penyelidikan dan perniagaan.

Beliau berkata, antara peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan termasuklah program pertukaran pelajar 'Erasmus Mundus' dan The Seventh Framework Programme (FP7) yang menjadi instrumen utama pembiayaan penyelidikan di Eropah.

Selain itu, katanya, aktiviti MYEULINK juga merangkumi penganjuran Pameran Pendidikan Tinggi EU-Malaysia pada 2011 bagi mempamerkan institusi pengajian negara dan Eropah yang terlibat dalam program pertukaran dan penyelidikan melibatkan mahasiswa dan staf antara universiti.

Tambah beliau, sebuah persidangan yang melibatkan pemain penting dalam industri juga akan diadakan sempena pameran tersebut bertemakan Penubuhan Hab Pengajian Tinggi Serantau: Peluang dan Cabaran.

Bagi merealisasikan MYEULINK, empat universiti di Malaysia turut terlibat iaitu kampus University of Nottingham Malaysia (UNMC) yang bertindak sebagai koordinator program, selain Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dua universiti Eropah yang terlibat dalam pertukaran pensyarah untuk menyampaikan pengajaran dalam beberapa bidang tertentu berorientasikan EU pula ialah University Nottingham di United Kingdom (UK) dan University of Maastricht di Belanda.

Selain itu, tiga rakan sekutu kerjasama ini juga melibatkan institusi penyelidikan dan syarikat tempatan seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), USM serta Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Pensyarah dari University of Maastricht akan berkongsi kepakaran dalam bidang ekonomi dan perniagaan bersama UPM, sementara UMS pula menjadi hos dan koordinator kepada pengajian media dan sejarah berkaitan EU.

University of Nottingham, UK yang juga melahirkan graduan ternama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula akan berkongsi kepakaran bersama UM dalam bidang politik dan undang-undang.

Kesemua perkongsian pengetahuan dan kepakaran berkaitan EU melalui UPM, UMS dan UM seterusnya akan dihimpun melalui satu sistem simpanan maklumat yang boleh diakses secara dalam talian dikenali sebagai MYEUHENET.

Selain itu, struktur projek MYEULINK dirangka melibatkan penganjuran seminar berkaitan polisi EU dengan kerjasama tiga rakan sekutu melibatkan aspek keselamatan luar dan migrasi (ISIS) alam sekitar dan sains teknologi (IPPTN) serta tenaga (Petronas).

Kesemua penganjuran seminar tersebut melibatkan sumber kepakaran daripada pengajian tinggi, sektor awam dan swasta yang diselia oleh University of Nottingham, University of Maastricht dan Jaringan Sokongan Kecemerlangan Eropah (EESN).

Bagi mengembangkan hubungan organisasi awam dan swasta di Malaysia, satu lagi sistem simpanan maklumat secara dalam talian berkaitan polisi EU (MYEUHLSNET) akan dibangunkan bagi memadankannya dengan pusat-pusat penyelidikan dan pengetahuan yang relevan di Eropah.

Hasil gabungan input yang dikumpul melalui MYEUHENET dan MYEUHLSNET pula dijadikan pemangkin ke arah mewujudkan sebuah Community of Practice (MYEUCOP) yang mampu menzahirkan kepakaran dan amalan terbaik Malaysia-EU melibatkan beberapa polisi termasuk pendidikan.

Justeru, melalui MYUECOP yang diletakkan di bawah penyelarasan UM, ia diharapkan dapat menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap polisi yang dilaksanakan EU melalui kursus latihan yang melibatkan sektor awam dan swasta.

Akhirnya, MYEUCOP dijadikan garis panduan dan landasan ke arah penubuhan MYEUCENTRE melalui dialog, debat dan pertukaran kepakaran antara ahli akademik EU serta pembuat polisi di Malaysia dalam menentukan reaksi kedua-dua pihak terhadap beberapa polisi termasuk di peringkat pengajian tinggi.

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
Emel: pengarang@utusan.com.my

Dipetik dari laman Utusan Online 27 Mei 2010

Sunday, May 30, 2010

8 Ciri Eksekutif Syarikat Berbakat Gagal Dalam Kerjaya

8 Ciri Eksekutif Syarikat Berbakat Gagal Dalam Kerjaya

SYDNEY, Australia 23 Mei - Kajian terbaharu yang dijalankan oleh pakar perancangan penggantian ketua pegawai eksekutif, TalentInvest telah mengenal pasti lapan ciri-ciri yang boleh menyebabkan eksekutif syarikat yang paling berbakat 'tergelincir' di dalam kerjaya mereka.

Satu daripada empat eksekutif kanan gagal dalam tempoh 18 bulan pertama selepas pelantikan mereka, demikian menurut Majlis Kepimpinan Korporat yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Ini hanya dipercepatkan sejak krisis kewangan global ekoran kesulitan dan kekaburan yang belum pernah berlaku yang dihadapi oleh banyak perniagaan.

Ketua TalentInvest, Meena Thuraisingham berkata, "Punca utama kegagalan di dalam kerjaya bagi para eksekutif adalah kerana terlalu mengikuti dan bergantung kepada sifat dan tindak-tanduk yang berjaya dan digunakan oleh mereka di dalam kerjaya sebelum ini. Kekuatan yang telah memacukan seseorang eksekutif ke puncak sesebuah organisasi boleh juga menjadi punca yang menyebabkan kejatuhan mereka." "Ketika perniagaan menjadi lebih rumit, ketidakupayaan untuk menyesuaikan diri dan belajar dengan pantas dan cekap menjadi punca utama kegagalan mereka.

Perkara ini sangat ketara semasa krisis kewangan global, yang menguji ketabahan walaupun pemimpin perniagaan yang paling berjaya."

Thuraisingham menawarkan khidmat nasihat kepada syarikat- syarikat senarai awam di United Kingdom, Singapura, Hong Kong dan India mengenai perancangan penggantian ketua pegawai eksekutif telah menjalankan penyelidikan itu pada 2008.

Penyelidikan itu memberi tumpuan kepada eksekutif yang telah menjadi sebahagian daripada proses formal perancangan penggantian ketua pegawai eksekutif dan telah dikenal pasti semasa proses ini sebagai mempunyai potensi memiliki ciri- ciri ketua pegawai eksekutif.

Lapan ciri-ciri penting yang dapat menggagalkan eksekutif itu ialah;

  • Membiarkan kekuatan untuk menjadi liabiliti

  • Salah tanggap orang dan perhubungan

  • Memperkecilkan kerumitan cabaran

  • Tidak dapat menerima hakikat

  • Menjalani pemulihan terlalu perlahan selepas sesuatu kekecewaan

  • Kegagalan untuk belajar dan menyesuaikan diri

  • Mengetepikan kelemahan atau maklumat balas mengenai kelemahan ini

  • Terlalu lama berada dalam kumpulan yang salah

  • Ciri-ciri ini dan toksid dan mengehadkan struktur organisasi yang membawa kepada satu peningkatan di dalam kegagalan eksekutif telah dimasukkan di dalam buku terbaru Thuraisingham, bertajuk Derailed - What Smart Executives Do to Stay on Track.

    "Buku ini bertujuan memaklumkan kepada para eksekutif kepada gejala bahaya yang tersorok dan isyarat amaran dan menyediakan kepada mereka dengan beberapa strategi kejayaan yang praktikal untuk membantu mereka membina GPS dalaman seperti sistem bagi mengemudi menerusi halangan dan cabaran yang tidak boleh dielak," kata Thuraisingham.

    Namun, ia juga penting untuk merealisasikan bahawa kegagalan dan halangan itu tidak semestinya tidak baik. Pembelajaran peribadi yang penting boleh terbit daripada kekecewaan dan kegagalan bagi seorang eksekutif yang bersifat terbuka untuk belajar daripada kekecewaan itu.

    Maklumat latar belakang Meena Thuraisingham adalah merupakan Pengetua TalentInvest (www.talentinvest.com.au) dan adalah seorang ahli psikologi organisasi, yang memberi nasihat kepada syarikat-syarikat senarai awam di Australia, Asia dan United Kingdom mengenai perancangan penggantian ketua pegawai eksekutif.

    Beliau adalah penulis 'Careers Unplugged-Essential Choices for a Great Career' (Blue Toffee) yang telah mencatatkan jualan paling laris.

    Dipetik dari laman Utusan Online 24 Mei 2010

    Tuesday, May 18, 2010

    Belajar Apa Tua-Tua?

    Belajar Apa Tua-Tua?

    Oleh Ustaz Saiful Bahri

    Kelmarin, Hazel Soares bersama rakan sekelasnya bergambar sebelum konvokesyen bagi mendapatkan ijazah setelah beliau berjaya menamatkan pengajian di Mills College di Oakland, California. Beliau yang berusia 94 tahun mampu menyelesaikan pengajiannya kembali setelah tamat pembelajarannya di Roosevelt High School di Oakland pada tahun 1932. Beliau yang memiliki 6 orang anak dan 40 orang cucu dan cicit merupakan orang kedua tertua berjaya lulus dari kolej.

    Tiga tahun yang lalu, Nola Ochs dari Kansas telah menempa nama sebagai lulusan Universiti yang tertua di dunia dan dicatat dalam Guinness Book of World Records yang ketika itu berusia 95 tahun. Beliau mendapat Ijazah Master dalam Liberal Studies dari from Fort Hays State University.

    Ia menjadi suntikan semangat kepada semua bahawa usia bukannya halangan dalam menggapai kejayaan dalam pendidikan. Apa yang penting adalah semangat, keinginan dan kesungguhan. Sebenarnya konsep pendidikan dalam Islam merupakan pendidikan sepanjang hayat. Belajar dari buaian sehingga ke liang lahad. Non Stop. Apatah lagi ilmu itu tiada tepinya dan tiadanya pelabuhan untuk berlabuh. Islam mengajar kita supaya menuntut ilmu dan mencintainya serta golongan yang terlibat dengan ilmu. Islam sendiri meletakkan mereka yang berilmu itu tinggi maqamnya selepas daripada nabi.

    شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ

    Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). (Surah al-Imran : 18)

    يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

    Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat, dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Mujadalah : 11)

    Banyak lagi ayat yang menyentuh kelebihan orang yang berilmu apatah lagi hadis-hadis yang menyebut demikian tetapi amat malang kekadang umat Islam sendiri lemah dari segi pengetahuan dan usaha untuk mencari ilmu. Pengasas kepada keilmuan adalah Islam itu sendiri. Negara umat Islam terawal telah mewujudkan universiti termasuklah yang masyhur seperti Universiti Cordova, Konstantinople maupun Universiti Al-Azhar sendiri yang telah menjangkau usia melebihi 1 ribu tahun.

    Realiti kini di alaf millenium ini, negara-negara umat Islam sendiri menpunyai kadar buta huruf yang tinggi. Tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara maju mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100% semuanya celik huruf.

    Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50% di negara majoriti Islam. Bererti 50% lagi berhenti awal mahupun tidak bersekolah. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus sahaja di negara majoriti Islam.

    Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam. AS mempunyai 5,758 buah universiti dan India ada 8,407. Negara-negara majoriti umat Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta! Bererti umat Islam ketinggalan jauh ke belakang. Itu belum diambil kira di mana tahap universiti umat Islam berbanding dengan umat lain.

    Kalau dilihat negara kita, permasalahan timbul bukan hanya pendidikan tetapi juga sosial, ekonomi maupun politik. Kegagalan pihak memerintah menyalurkan sumber ilmu pengetahuan kepada rakyatnya. Apatah lagi apabila pendidikan sendiri menjadi satu cabang perniagaan. Kerajaan berniaga dengan rakyatnya sendiri. Rakyat terpaksa membayar kos yang tinggi untuk pembelajaran. Peluang yang terhad bahkan pelbagai diskriminasi serta campur tangan politik sempit menyebabkan status pendidikan negara jatuh merudum.

    Kita sedih melihat generasi muda yang sibuk menghabiskan masa emas mereka dengan sia-sia. Sibuk dengan hiburan, merempit dan berpeleseran tanpa arah dan tujuan. Kadar celik ilmu maupun penguasaan agama yang amat cetek sekali. Inilah punca yang membawa banyak permasalahan remaja dan umat Islam kini.

    Peluang dan kesempatan pembelajaran secara formal maupun tidak formal amat terhad di negara kita. Kalau ada kesempatan pun banyak pula halangan-halangan lain. Tetapi biar apapun, sikap kita sendiri merupakan faktor utama dalam usaha merebut ilmu pengetahuan. Banyak yang terkandas ditengah jalan kerana hilang daya juang dan semangat menuntut ilmu. Banyak yang merasakan cukup dengan apa yang ada. Meskipun umur masih muda belia. Apatah lagi untuk mencapai pendidikan yang lebih tinggi seperti sarjana dan Phd. Bahkan rakan-rakan dan keluarga sendiri tak membantu. Bahkan cubaan untuk melunturkan semangat makin ada. "Mengaji apa lagi tua-tua ni". Istilah yang biasa kedengaran. Sedangkan para ulama terdahulu terpaksa belayar ke Mekah untuk menuntut ilmu bahkan ada yang memakan masa 20-30 tahun baru pulang kembali ke nusantara bagi menabur ilmu yang mereka miliki.

    Penulis sendiri melalui cabaran ini. Ijazah pertama di Universiti al-azhar diperolehi pada tahun 1989. Setelah 20 tahun barulah dapat peluang menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Memanglah dalam kelas kita yang tertua. Bahkan Ketua Jabatan dan sesetengah prof tu lebih muda daripada kita sendiri tetapi faktor usia guru bukannya menjadi penghalang untuk kita menuntut ilmu. Semangat yang ditunjukkan oleh nenek Hazel dan Nola ini menyuntik semangat untuk menyambung lagi pengajian keperingkat Phd, insyaAllah semoga Allah memberi jalan dan kekuatan meskipun banyak kekangan dan acapkali semangat yang tertangguh.

    Dipetik dari laman Tranungkite

    Komen : Buat permulaan, IPTA-IPTA di Malaysia mengecualikan 100% yuran pengajian dan lain-lain yuran kepada golongan pesara (serta mereka yang berumur 50 tahun ke atas) yang mengikuti mana-mana kursus berkaitan dengan pengajian Islam di peringkat ijazah, master dan PhD.

    Tuesday, May 11, 2010

    Kisah bahasa Melayu di Jepun




    SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari 200 buah.

    Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.

    Essei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.

    Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka ialah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.

    Sebilangan dari mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.

    Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."

    Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.

    Moriyama menambah: "Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."

    Lantas disebut nama salah seorang dari mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.

    Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Ia kemudian diulang cetak hingga 30 kali.

    Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.

    Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.

    Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.

    Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita dari Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

    Pada satu peringkat lain diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."

    Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.

    Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat kedua menggunakan tulisan Jawi.

    Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian dari Baginda pada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

    Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.

    Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajar di sekolah-sekolah yang dulu mengajar bahasa Inggeris.

    Komen : Inilah cara bagaimana Jepun menjadi sebuah negara yang hebat walaupun dalam banyak aspek ia masih ketinggalan berbanding dengan Amerika Syarikat.

    Oleh: Mazlan Nordin
    Dipetik dari laman Utusan Online

    Saturday, May 8, 2010

    Pandangan Blogger Hasbullah Pit Mengenai Hari Pekerja, Polisi Buruh dan Meningkatkan Ekonomi Negara

    1 Mei hari pekerja. Hari yang mulia bagi penyokong sosialis.

    Sosialis memang kerjanya perjuangkan nasib pekerja. Kapitalis pula suka kayakan orang kaya.

    Namun orang Sosialis jarang pula kempen orang supaya berniaga.

    Mahu naik gaji, mahu nasib pekerja terbela dan sebagainya, tapi pekerja perlu kekal sebagai pekerja. Sampai bila?

    Maka wujud golongan baru, pendokong dinar dirham, yang mempromosikan supaya berniaga. Pasar awam tanpa sewa patut diwujudkan.

    Supaya apa? Supaya semua orang boleh berniaga dengan mudah.

    Dengan itu meningkatnya Kelajuan wang atau "velocity of money".

    Dengan menganut pemikiran sosialis, pekerja sentiasa jadi pekerja, modal masih lagi pada kapitalis. Lambat laun, harga pekerja akan pergi ke kapitalis juga.

    Jadi, ayo berniaga.

    Zaman sudah dipermudahkan, kini golongan pekerja boleh berniaga di Laman web sosial tanpa sewa.

    Bagi pendokong dinar dirham, menjadi pemodal bukan satu kesalahan. walaupun sering dibenci sosialis.

    Apa yang penting ialah sistem kewangan yang mengikut peraturan, Tiada riba' , tiada penerbitan wang baru yang hanya dinikmati golongan pemodal.

    Dipetik dari blog Hasbullah Pit

    Thursday, May 6, 2010

    Ubah Cara Berniaga

    Ubah Cara Berniaga

    Ada sesuatu yang tidak kena apabila pelabur dan peniaga masih mengharapkan kos buruh yang rendah sedangkan kos sara hidup pekerja di negara ini semakin tinggi. Oleh sebab kos buruh yang rendah, majikan lebih berminat mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan sendiri. Ketidakseimbangan ekonomi ini merencatkan agenda negara yang direncanakan melalui Model Ekonomi Baru (MEB).

    Kos sara hidup yang tinggi dan tidak bertepatan dengan gaji yang diperoleh menjejaskan kehidupan seharian pekerja tempatan. Selaras dengan itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kajian menyeluruh mengenai gaji minimum untuk para pekerja terutamanya yang terlibat dengan sektor industri bakal dijalankan.

    Sebelum itu, Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan kenaikan gaji pengawal keselamatan yang rata-rata berpendapatan di antara RM500-RM700 sebulan pada masa kini. Dengan gaji yang sebegitu rendah berbanding dengan keperluan semasa, pengumuman tersebut sudah tentu menceriakan para pengawal keselamatan yang kebanyakannya merupakan pesara polis dan tentera.

    Namun demikian, ada desakan agar kenaikan gaji pengawal keselamatan ditangguhkan buat sementara waktu kerana majikan masih belum bersedia untuk menyerap kenaikan kos ini.

    Inilah satu perkara yang cukup sensitif tidak kiralah kepada para pekerja meskipun kepada majikan. Di mana-mana sahaja di dunia ini, isu gaji merupakan isu yang sering diperjuangkan di kalangan para pekerja. Isu gaji jugalah menyebabkan ramai tenaga mahir dan kurang mahir tempatan mencari peluang pekerjaan di luar negara.

    Umpamanya ramai doktor yang bekerja di luar negara seperti Singapura dan United Kingdom kerana mendambakan ganjaran yang cukup lumayan. Ramai yang bermastautin di luar negara semata-mata terpesona dengan gaji yang lebih menarik.

    Inilah dilema yang mesti ditangani segera jika kita benar-benar ingin berdaya saing di pentas antarabangsa. Negara memerlukan tenaga mahir dan bukannya lambakan para pekerja asing yang rata-ratanya sanggup bergaji murah.

    Hujahnya cukup mudah. Malaysia tidak lagi berdaya saing dari segi kos buruh yang rendah. Banyak negara lain yang boleh menawarkan kos buruh yang rendah.

    Ambil contoh negara China, boleh dikatakan banyak barangan yang dipasarkan di seluruh dunia seperti pakaian diperbuat dari China. Adakah kita masih lagi ingin bersaing dengan cara yang sama sedangkan sememangnya diketahui kita akan kalah sebelum bertanding?

    Natijahnya, cara berniaga perlu diubah. Tidak boleh lagi menggunakan cara yang sama.

    Oleh itu, para majikan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan kebajikan para pekerja tempatan diutamakan. Kalau setiap tahun mereka mampu mengumumkan keuntungan berjuta-juta ringgit bahkan ada yang sampai berbilion ringgit, apalah sangat jika keuntungan ini disalurkan kepada kebajikan para pekerja.

    Perlu dingat, para pekerjalah yang selama ini menyumbang keuntungan kepada syarikat. Di negara Jepun, para pekerjanya cukup setia dengan majikannya. Jasa yang disumbangkan oleh majikan kepada mereka dibalas dengan budaya kerja yang hebat. Ini kerana kebajikan para pekerja dijaga dengan baik.

    Gaji mestilah setimpal dengan kerja yang dilakukan dan juga kos sara hidup semasa.

    Apabila kebajikan pekerja dijaga dan dihargai, produktiviti mereka juga akan semakin meningkat. Bukan itu sahaja, suasana kerja juga akan lebih kondusif dan seterusnya para pekerja akan termotivasi untuk bekerja secara ikhlas dan jujur bagi memastikan misi dan visi syarikat dapat dicapai.

    Tidakkah ini akan memberi kesan yang amat baik kepada syarikat? Sayangnya, masih ada majikan yang mengutamakan keuntungan semata-mata dan tidak nampak tentang kepentingan menjaga kebajikan para pekerja.

    Ketamakan sebeginilah yang akhirnya memberi kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara.

    Selain gaji dan kebajikan pekerja, produktiviti juga akan meningkat jika gejala rasuah dapat ditangani di kalangan ahli perniagaan. Statistik untuk empat bulan pertama tahun ini menunjukkan golongan kedua tertinggi ditangkap atas kesalahan memberi rasuah adalah kes menggajikan pendatang asing.

    Sekali lagi kita dapat lihat tentang budaya perniagaan yang tidak sihat di negara kita. Sudahlah tidak mengutamakan pekerja tempatan, sanggup pula menawarkan rasuah kepada pegawai kerajaan.

    Jangan menyalahkan penguat kuasa atau pegawai kerajaan jika punca rasuah bukannya datang dari mereka. Rasuah tidak akan sesekali berlaku jika tiada pihak yang memberi.

    Justeru, sokongan penuh mesti diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berusaha bersungguh-sungguh membanteras gejala rasuah.

    Kempen membanteras rasuah dan penerangan jelas yang bakal diberikan kepada golongan peniaga mampu mengurangkan gejala jijik ini ke tahap terendah. Jika ini dapat dicapai, suasana perniagaan akan lebih berintegriti dan seterusnya kualiti dan produktiviti akan berjaya dilonjakkan pada tahap tertinggi.

    Budaya perniagaan yang bersih tanpa penyelewengan, penipuan dan rasuah akan menjadikan suasana ekonomi negara yang lebih mapan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.

    Oleh Rohami Shafie
    PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

    Dipetik dari laman Utusan Online, 3 Mei 2010

    Saturday, May 1, 2010

    KTM Mengikut Langkah Sistem Keretapi di Jepun Dengan 'Women Only Coach'



    Tanda 'Boarding Point For Women Only' di atas platform membantu wanita naik ke dalam koc mereka dengan selesa.