Showing posts with label usahawan. Show all posts
Showing posts with label usahawan. Show all posts

Saturday, May 8, 2010

Pandangan Blogger Hasbullah Pit Mengenai Hari Pekerja, Polisi Buruh dan Meningkatkan Ekonomi Negara

1 Mei hari pekerja. Hari yang mulia bagi penyokong sosialis.

Sosialis memang kerjanya perjuangkan nasib pekerja. Kapitalis pula suka kayakan orang kaya.

Namun orang Sosialis jarang pula kempen orang supaya berniaga.

Mahu naik gaji, mahu nasib pekerja terbela dan sebagainya, tapi pekerja perlu kekal sebagai pekerja. Sampai bila?

Maka wujud golongan baru, pendokong dinar dirham, yang mempromosikan supaya berniaga. Pasar awam tanpa sewa patut diwujudkan.

Supaya apa? Supaya semua orang boleh berniaga dengan mudah.

Dengan itu meningkatnya Kelajuan wang atau "velocity of money".

Dengan menganut pemikiran sosialis, pekerja sentiasa jadi pekerja, modal masih lagi pada kapitalis. Lambat laun, harga pekerja akan pergi ke kapitalis juga.

Jadi, ayo berniaga.

Zaman sudah dipermudahkan, kini golongan pekerja boleh berniaga di Laman web sosial tanpa sewa.

Bagi pendokong dinar dirham, menjadi pemodal bukan satu kesalahan. walaupun sering dibenci sosialis.

Apa yang penting ialah sistem kewangan yang mengikut peraturan, Tiada riba' , tiada penerbitan wang baru yang hanya dinikmati golongan pemodal.

Dipetik dari blog Hasbullah Pit

Sunday, May 11, 2008

Menjalankan Bisnes di Peringkat Global


Saya baru selesai membaca buku Doing Business Anywhere oleh Tom Travis hari ini. Saya membelinya dalam bulan Julai 2007.

Buku ini menerangkan tentang asas-asas untuk menjalankan bisnes di peringkat global. Banyak perkara yang disentuh oleh buku ini tidak diajar di universiti-universiti tempatan. Buku ini sesuai untuk pensyarah, pelajar, CEO dan eksekutif kanan syarikat, pemilik bisnes kecil dan pegawai kerajaan. Pemilik bisnes kecil atau bisnes keluarga dapat mengambil manfaat dari buku ini kerana menjalankan bisnes di peringkat global bukanlah monopoli syarikat-syarikat besar sahaja. Bisnes kecil dan bisnes keluarga pun boleh beroperasi di peringkat global. Syarikat boleh menjual produk serta perkhidmatan atau mendapatkan sumber bekalan di seberang laut.

Buku ini menerangkan tentang bagimana hendak memanfaatkan penjanjian-perjanjian perdagangan antara negara untuk keperluan syarikat. Buku ini juga menerangkan tentang pentingnya menjaga jenama dan reputasi syarikat. Bisnes yang berpegang kepada etika memberi kelebihan apabila beroperasi di peringkat global. Aspek sekuriti penting untuk syarikat. Buku ini menerangkan tentang prinsip untuk menjaga sekuriti produk. Bencana berlaku secara tiba-tiba. Syarikat menghadapi bencana secara kreatif supaya operasi syarikat tidak terjejas. Walaupun syarikat merancang secara strategik, namun bencana boleh melanda bila-bila masa. Tindakbalas yang pantas dan kesediaan syarikat untuk menghadapi bencana dapat mengurangkan kesan dari bencana yang berlaku.

Buku ini juga menerangkan tentang pentingnya bersemuka dan selalu berhubung dengan klien atau pembeli. Walaupun kita dapat berhubung dengan klien atau pembeli melalui e-mel, telefon atau sidang video, namun cara itu tidak mencukupi walaupun ia canggih dan dihasilkan melalui teknologi terkini. Pekerja-pekerja yang berkaliber banyak membantu apabila kita pergi mengunjungi klien atau pembeli di luar negara. Dikejutkan oleh panggilan telefon pada lewat malam atau awal pagi ialah perkara biasa apabila kita mempunyai klien atau pembeli di luar negara. Ini kerana Malaysia berada di zon waktu yang berbeza dengan banyak negara.

Wednesday, January 23, 2008

Motivasi Diri Sendiri

J. Richard Hackman dan Greg R. Oldham mengenalpasti lima faktor yang mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Model ini dikenali sebagai Model Ciri Kerja.

Anda boleh meningkatkan motivasi diri anda sendiri dengan cara-cara berikut:

1. Mempelbagaikan kemahiran

Memperbanyakkan menghadiri latihan dan membaca untuk mempelbagaikan kemahiran. Contohnya, jika anda seorang eksekutif purchasing, anda boleh memahirkan diri anda dengan ISO9001, ISO14001 dan OHSAS18001 supaya dapat melihat kerja daripada dimensi yang berbeza. Anda juga boleh mempelajari tentang tugas orang lain dalam organisasi anda. Ini kerana anda boleh melakukan tugas anda daripada perspektif, kemahiran dan bakat seorang eksekutif operasi atau kualiti misalnya, memberi kesan yang positif kepada tugas anda.

2. Identiti tugas

Melaksanakan sebahagian atau keseluruhan tugas mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Contohnya, anda boleh menawarkan diri anda untuk mengendalikan keseluruhan tugas atau projek jika mampu. Jika tanggungjawab anda hanya meliputi sebahagian daripada tugas, anda boleh memainkan peranan sokongan kepada bahagian-bahagian lain dalam tugas atau projek.

3. Signifikan tugas

Mengetahui sejauh mana tugas memberi kesan kepada hidup atau tugas orang lain mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Contohnya, seorang guru sampai bilapun tidak akan mempunyai produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja apabila niatnya hanya untuk mendapat gaji atau kenaikan melintang. Hasil kerja yang boleh diberikan tidak lebih dari matlamat yang telah ditetapkan. Apabila matlamat bekerja hanya untuk gaji RM2000 sebulan, nilai kerja tidak lebih dari itu. Mereka yang mempunyai matlamat seperti mencapai redha Allah atau untuk membantu anak-anak bangsa (terutama yang yatim) supaya dapat berdikari serta membantu orang lain pula, mempunyai produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja yang sangat tinggi.

4. Autonomi

Kebebasan menggunakan budi bicara sendiri dalam merancang jadual tugas peribadi dan menentukan prosedur untuk melaksanakan tugas mempengaruhi produktiviti, motivasi dan kepuasan bekerja. Tetapi ini sukar dicapai melainkan seseorang itu dapat mempamerkan kebolehan, kemahiran dan pengetahuan yang tinggi untuk melaksanakan sesuatu tugas. Kebolehan, kemahiran dan pengetahuan boleh diperbaiki dengan menghadiri latihan dan banyak membaca. Seseorang pekerja itu juga dapat memperbaiki kebolehan dan kemahiran bekerja dengan bekerja bersungguh-sungguh dan sentiasa memperbaiki cara kerja.

5. Maklumat balas

Sentiasa dapatkan maklumat balas kepada setiap kerja yang anda lakukan daripada ketua atau rakan sekerja anda. Contohnya, "tolong hubungi saya pada talian 0X-8XXX XXXX sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai hal sekian-sekian."