Wednesday, August 6, 2008

Sesetengah Majikan di Malaysia Suka Menganiaya Pekerja?

Sesetengah majikan di Malaysia suka menganiaya pekerja? Utusan online pada 3 Ogos 2008 melaporkan tentang sebuah kilang pembekal kepada syarikat Nike, Inc didakwa menganiaya pekerja. Syarikat Hytex Apparel didakwa memberikan pekerjanya tempat tinggal yang tidak sesuai dan memotong gaji mereka untuk membayar yuran agensi. Sementara itu, pasport mereka juga ditahan.

Pembongkaran kisah syarikat Hytex Apparel ini merupakan tip of the iceberg. Banyak lagi syarikat yang suka menganiaya pekerja namun perbuatan mereka masih belum terbongkar.
Sebagai contoh, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 melarang syarikat daripada memotong gaji pekerja untuk membeli alat pelindung diri (PPE) atau mengenakan bayaran kepada mereka. Namun, ada syarikat yang melakukan perkara itu dengan sewenang-wenangnya.

Perbuatan majikan menganiaya dapat diatasi dengan cara berikut:

1. Syarikat-syarikat melaksanakan standard OSHA seperti OHSAS18001
2. Memperkemaskan undang-undang berkaitan pekerja
3. Mengetatkan perlaksanaan undang-undang berkaitan pekerja
4. Mencukupkan bilangan staf yang kompeten untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan pekerja
5. Memperkemaskan kurikulum mengenai sumber manusia di IPT
6. Mendidik pekerja mengenai hak-hak mereka menurut undang-undang
7. Mendidik majikan mengenai tanggungjawab-tanggungjawab mereka menurut undang-undang
8. Mengadakan saluran yang telus supaya pekerja dapat membuat aduan tanpa rasa takut kerjaya mereka terjejas
9. Mempastikan penjawat-penjawat awam yang berkaitan dengan hal ehwal pekerja tidak mengambil rasuah atau mudah dipengaruhi oleh syarikat
10.Menyediakan golongan pengamal sumber manusia yang berwibawa dan mempunyai tahap kesedaran sosial yang tinggi
11.Syarikat-syarikat prihatin terhadap perlunya mempunyai tanggungjawab sosial
12.Pelanggan-pelanggan seperti Nike, Inc. menggesa syarikat pembekal mematuhi undang-undang dan mempunyai etika yang tinggi dan sebagainya.
13.Menubuhkan unit forensik di jabatan-jabatan yang berkaitan dengan pekerja
14.Menubuhkan sistem indeks untuk memantau prestasi syarikat dalam mengurus pekerja dengan cara yang sejajar dengan undang-undang dan penuh etika
15.Menubuhkan NGO untuk menangani masalah pekerja
16.Menggesa kesatuan sekerja supaya lebih prihatin terhadap isu-isu yang sebenarnya berlaku di kalangan pekerja dan lain-lain lagi.

Di negara ini terdapat empat golongan majikan:

1. Majikan yang mematuhi undang-undang dan beretika. Majikan seperti ini sukar dicari.
2. Majikan yang mematuhi undang-undang tetapi tidak beretika. Contohnya, majikan membayar gaji tepat pada masanya tetapi rawatan perubatan percuma yang diberikan kepada pekerja berkualiti rendah.
3. Majikan yang tidak mematuhi undang-undang tetapi beretika. Contohnya, majikan seringkali lambat membayar gaji tetapi memberitahu dengan jujur tentang tahap kewangan syarikat serta memaklumkan dengan lebih awal kepada pekerja apabila syarikat ingin melaksanakan skim memberhentikan pekerja secara sukarela (VSS). Syarikat juga menyediakan program-program latihan yang sesuai serta member nilai tambah kepada pekerja yang ingin menyertai program memberhentikan pekerja secara sukarela (VSS).
4. Majikan yang tidak mematuhi undang-undang dan tidak beretika. Contohnya, syarikat memotong gaji pekerja untuk membeli alat pelindung diri (PPE) atau mengenakan bayaran kepada mereka untuk perkara itu.

No comments: