Friday, September 25, 2009

Orang Melayu Dalam Pentadbiran Portugis di Melaka


Wujudkah orang Melayu dalam pentadbiran Portugis di Melaka? Alfonso de Albuquerque menerapkan sistem pentadbiran Melaka yang asal termasuk undang-undang adat ke dalam sistem pentadbirannya di Melaka. Alfonso de Albuquerque menggabungkan sistem pentadbiran Portugis dan Melaka untuk mentadbir Melaka. Orang Melayu di Melaka dapat meneruskan aktiviti-aktiviti ekonomi mereka seperti bertani dan menangkap ikan tanpa diganggu. Jawatan Bendahara dan Temenggong dikekalkan oleh Alfonso de Albuquerque. Alfonso de Albuquerque menetapkan supaya jawatan ini dipegang oleh orang Melayu sahaja. Bendahara mentadbir Melaka manakala Temenggong bertanggungjawab ke atas kewangan Melaka. Sistem ini bertahan dari tahun 1511 hingga tahun 1641. Belanda menguasai Melaka semenjak tahun 1641. Rujukan, Bailey Wallys Diffie, Boyd C. Shafer, George Davison Winius, Foundations of the Portuguese Empire, 1415-1580.

Bukti ini menunjukkan bukan semua orang Melayu menentang Portugis. Jika semua orang Melayu menentang Portugis, amat sukar untuk Portugis untuk menguasai Melaka. Dengan bantuan orang Melayu, angkatan Portugis menemui jalan mudah untuk menawan Melaka.

Dalam buku yang sama juga dinyatakan orang Portugis membawa bersama mereka 3000 pucuk meriam yang dapat ditawan dari kota Melaka. yang tinggal masih banyak lagi. Kualiti meriam-meriam itu setara dengan meriam buatan Jerman. Orang Melayu bukan tidak mempunyai teknologi. Melaka mempunyai tentera yang ramai dan kuat. Mereka mempunyai senjata yang canngih dan banyak. Namun, bukan semua orang Melayu setuju dengan kerajaan Melaka. Pendokong-pendokong konsep Ketuanan Melayu (Malay Supremacy) menimbulkan kisah pedagang-pedagang Cina dan India yang membantu Portugis menawan Melaka. Mereka juga mengatakan tentera Jawa belot. Hakikat sebenarnya, orang Melayu sendiri yang membantu Portugis menawan Melaka.

Angkatan laut Melaka terkenal hebatnya, dapat menjinakkan lanun-lanun dan Majapahit serta Siam. Tetapi, kapal-kapal Portugis dapat mudik sungai Melaka sehingga betul-betul hampir dengan pintu Kota Melaka. Tindakan ini membolehkan kapal-kapal Portugis dapat membedil kota Melaka selama 20 hari sebelum serangan sebenar bermula. Dimanakah angkatan laut Melaka ketika itu? Kenapakah kapal-kapal Portugis dapat bolos dengan begitu mudah? Ada maklumat tempatan yang menyatakan bahawa yang membedil kota Melaka itu bukan hanya kapal-kapal Portugis tetapi kapal-kapal Melaka sendiri.

Sejarah menunjukkan orang Melaka terbahagi kepada beberapa kumpulan. Yang paling masyhur ialah kumpulan yang menyokong Hang Tuah dan kumpulan yang menyokong Hang Jebat. Kumpulan yang menyokong Hang Jebat merampas kuasa dan melantik Hang Jebat sebagai pemerintah Melaka yang baru. Sultan Melaka, Bendahara dan penyokong mereka berundur ke Kelang (Selangor?) untuk berlindung dan mengumpul kekuatan. Bendahara Tun Perak mendedahkan kepada Sultan Melaka bahawa Hang Tuah belum mati. Hang Tuah bersembunyi di Hulu Melaka. Beliau memanggil kembali Hang Tuah. Hang Tuah mengumpul angkatan perang untuk menawan Melaka kembali.

Hang Tuah berasal dari Kelantan. Sebagaimana yang diketahui, Kelantan ialah sebahagian daripada Empayar Chermin yang terdiri daripada Acheh, Selatan Vietnam, Kedah, Kelantan dan Patani. Empayar Chermin merosot semasa kerajaan Melaka mencapai zaman gemilangnya. Angkatan perang yang dikumpul oleh Hang Tuah datang dari Kedah, Kelantan dan kawasan yang sekitarnya.

Cerita tentera Jawa yang belot juga tidak berasas. Orang-orang Jawa beberapa kali menyerang Melaka selepas tahun 1511. Mereka menunjukkan komitmen mereka untuk menawan kembali Melaka dari tangan Portugis. Ramai yang terkorban namun mereka terus berusaha.

Puak yang menyokong Hang Tuah dan puak yang menyokong Hang Jebat bersilih ganti menguasai Melaka.

Orang-orang Melayu yang membantu Portugis menawan Melaka sudah tentulah terdiri daripada golongan yang tidak berpuashati. Mereka golongan yang tewas dalam percaturan politik Melaka atau dipinggirkan dari arus perdana politik Melaka. Untuk menewaskan Melaka bukannya mudah. Namun, demi untuk merebut kuasa mereka bersekongkol dengan Portugis untuk menjatuhkan kerajaan Melaka.

1 comment:

jihadin82 said...

Blog yang amat bermanfaat, saya suka penulisan sebegini. Bolehkah saudara adakan bahagian shout box agar perkongsian idea lebih mudah. Teruskan membongkar misteri sejarah dunia dan inilah juzuk pemikiran yang pelru diberi perhatian...