Friday, January 25, 2008

Doa Mustajab Kepada Saudara Seagama

Muslim telah merekodkan sebuah hadis daripada Abu Dardak mengenai doa mustajab kepada seorang Islam yang lain. Nabi Muhammad telah berkata bahawa apabila seorang Islam mendoakan seorang Islam yang lain dengan sesuatu kebaikan tanpa diketahui olehnya, seorang malaikat pesuruh akan mengaminkan doa itu. Malaikat itu juga akan memohon kebaikan yang sama kepada orang Islam yang berdoa itu.

Mendoakan sesuatu kebaikan kepada orang Islam yang lain ialah satu perbuatan yang baik. Kita boleh mendoakan supaya diteguhkan iman, dimasukkan ke dalam syurga dan digolongkan bersama orang-orang yang mati syahid, orang-orang salih dan para nabi. Kita juga boleh mendoakan supaya dibanyakkan rezeki saudara kita itu dan diberi rezeki yang berkat. Di antara doa-doa lain ialah supaya disembuhkan dari penyakit, sentiasa dimudahkan segala urusan dan berjaya dalam segala lapangan yang diceburi. Kita berdoa tanpa diketahui oleh mereka. Malaikat akan mengaminkan doa yang dilakukan dengan cara seperti ini. Malaikat itu juga akan memohon supaya kita juga akan mendapat perkara yang sama yang kita doakan kepada saudara kita.

No comments: