Golongan penuntut ilmu sentiasa memerlukan berbagai jenis bantuan. Jenis bantuan yang diperlukan termasuklah yuran, pakaian, tempat tinggal, tambang perjalanan, buku-buku nota serta rujukan, alat tulis, belanja makan dan sebagainya. Islam menggalakkan supaya membantu mereka yang menuntut ilmu, terutama sekali ilmu agama. Di antara rahsia murah rezeki ialah membantu penuntut ilmu dengan ikhlas.
Tirmizi dan Al Hakim telah merekodkan sebuah hadis daripada Malik bin Anas tentang dua orang saudara yang hidup pada zaman Nabi Muhammad. Seorang sahabat memiliki pekerjaan. Dia bekerja keras mencari rezeki sambil membantu saudaranya. Saudaranya itu tidak bekerja. Sebaliknya dia sering menghadiri kelas-kelas yang dikendalikan oleh Nabi Muhammad.
Sahabat itu datang berjumpa Nabi Muhammad tentang saudaranya yang hanya menghabiskan masa untuk belajar. Dia tidak setuju dengan sikap saudaranya yang terlalu bergantung kepadanya.
Kemudian Nabi Muhammad memberitahu sahabat tadi tentang rezekinya. Mungkin sahabat itu mendapat rezeki dengan sebab membantu saudaranya yang menuntut ilmu. Dia perlu menganggap rezeki yang diterima bukanlah dari usahanya seratus peratus. Dia perlu menyedari bahawa Allah menambah rezekinya kerana dia membantu saudaranya menuntut ilmu agama.
Ibnu Mubarak suka membantu orang lain. Dia menganggap bahawa ilmu ialah perkara yang terpenting selepas nabi. Apabila menghulurkan bantuan, dia memberi prioriti kepada golongan penuntut ilmu.
No comments:
Post a Comment