Monday, May 26, 2008

Kaji Semula Keputusan Batal MOU Antara IPT Tempatan dan Universiti Al-Azhar

KAHERAH, 26 Mei (Hrkh) - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) memohon agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengkaji semula keputusan pembatalan persefahaman (MOU) antara institut pengajian tinggi Malaysia dan Universiti al-Azhar yang berpusat di Kaherah, Mesir.

Presiden PMRAM Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya melihat perjanjian persefahaman tersebut sangat membantu anak-anak Melayu dalam meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam pengajian Islam.

"Bidang tersebut tergolong dalam bidang kritikal di mana ia telah melahirkan modal insan yang berkualiti sesuai dengan agenda besar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok Nasharudin Mat Isa dalam soalan tambahannya kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Idris Haron bertanya kenapa MOU antara kerajaan Mesir dan kolej-kolej tempatan yang menghantar pelajar ke tahun tiga mereka ke al-Azhar telah dibatalkan.

Menjawab soalan tersebut, Dato' Idris memberitahu Parlimen bahawa antara sebab keputusan itu dilaksanakan adalah kerana permintaan pasaran ke atas graduan lulusan agama adalah minimum dan hal itu seterusnya mendorong kerajaan menghadkan penghantaran pelajar ke universiti al-Azhar.

Mengulas hal itu, Khairul Anuar berkata, kewujudan cawangan Universiti al-Azhar di Negeri Sembilan misalnya, adalah contoh bahawa kerajaan tidak wajar menyekat peluang graduan-graduan IPT tempatan untuk meneruskan pengajian di kampus induk universiti tertua itu.

"Merujuk dakwaan yang menyatakan perjanjian persefahaman itu tidak menepati pasaran kini, PMRAM melihat ia bukan sebab yang kukuh untuk terus dibatalkan kerjasama itu. Realiti sekarang menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan graduan di bidang pengajian lain turut berlaku.

"Apakah kerana sekadar faktor kekurangan kehendak pasaran semasa, maka terus sahaja disekat perkembangan ilmu agama dalam kalangan pelajar-pelajar di Malaysia?" kata beliau.

Tambah beliau, peluang pekerjaan yang selama ini terbuka luas kepada graduan lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang pendidikan sepatutnya lebih diperhebatkan. J-Qaf, menurut Khairul Anuar, adalah contoh program yang disifatkannya sebagai salah satu langkah penyelesaian untuk mengatasi isu pengangguran di kalangan graduan pengajian Islam itu.

"Oleh itu, kerajaan perlulah meneliti semula betapa peluang tersebut sangat membantu anak-anak Melayu mendalami ilmu Islam secara langsung.

"Implikasi buruk akan berlaku dengan terputusnya generasi penuntut-penuntut Mu'adalah Universiti al-Azhar jika KPT tidak mengkaji baik buruk keputusan yang telah dibuat," katanya.

Oleh Ali Bukhari Amir
Dipetik dari laman Harakahdaily

Komen

Lepasan universiti Al Azhar tidak semestinya menjadi guru J-QAF atau imam sahaja. Mereka boleh juga menjawat jawatan sebagai Eksekutif Pentadbiran, Eksekutif Sumber Manusia, Eksekutif Purchasing, Eksekutif Stor, Eksekutif Logistik, Eksekutif Kawalan Dokumen, Eksekutif Latihan, Ekesekutif/Penyelia Pengeluaran, Eksekutif Perhubungan Perusahaan, Eksekutif Safety & Health (jika mengambil kursus di NIOSH dan mendaftarkan diri dengan DOSH), Eksekutif Pemasaran, Eksekutif Jualan dan sebagainya.

Majikan-majikan di Malaysia mempunyai paradigma bahawa memilih kursus mestilah yang sesuai. Ini ialah paradigma yang kurang tepat kerana terdapat banyak kerja yang hanya mensyaratkan ijazah dalam mana-mana bidang. Syarikat-syarikat Malaysia kurang daya kreatif kerana terlalu dogmatik apabila memilih pekerja. Memanglah untuk mengambil doktor memerlukan calon-calon yang ada MBBS, MD atau MBChB. Tetapi dalam bidang pemasaran misalnya, ia sepatutnya terbuka kepada mana-mana disiplin pengajian. Sarah Burroughs mempunyai ijazah bacelor dalam bidang sejarah dari Universiti Lincoln di Missouri, AS tetapi bekerja di sebuah syarikat pengiklanan (Dipetik dari Solomon, MR dan Stuart, EW, Marketing. Prentice Hall, Upper Saddle River, New Jersey, 2nd Edition, 2000).

Paradigma ini diperkukuhkan lagi oleh sesetengah ahli politik Malaysia dan tokoh-tokoh bisnes yang menyatakan bahawa punca graduan menganggur ialah kerana pilihan kursus yang tidak sesuai.

Walau bagaimanapun, bilangan imam di seluruh negara masih tidak mencukupi. Sebuah masjid yang beroperasi secara 3 shif lebih mudah diimarahkan. Ini akan membolehkan jemaah masjid berqiamullail, misalnya. Selain itu, mengoperasikan masjid secara 3 shif akan dapat mengurangkan risiko harta benda masjid dicuri oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Masjid akan sentiasa ada orang. Pencuri-pencuri tidak berpeluang untuk bermaharajalela.

Setiap shif mempunyai seorang imam lulusan Universiti Al Azhar atau lain-lain IPT. Mereka akan diketuai oleh seorang ketua imam yang lebih senior. Seorang inspektorat akan menyelia seluruh aktiviti peringkat daerah. Inspektorat ini dibantu oleh beberapa orang pembantu. Deskripsi kerja mereka boleh diperluaskan. Mereka bukan sahaja memimpin solat, malah mengendali kelas-kelas pengajian, memberi kaunseling kepada penduduk setempat, mengkoordinasi kelas tiusyen, mentadbir perpustakaan masjid, menyelia house-keeping masjid dan sebagainya. Siapa kata lepasan universiti Al Azhar mempunyai pasaran kerja yang rendah. Pokok pangkalnya terletak pada persepsi kita sendiri.

No comments: