Wednesday, May 7, 2008

Modern Labour Movement : Kerajaan Kelantan Amal Konsep Takwa Elak Pekerja Tertindas

KUALA LUMPUR,6 Mei (Hrkh) - Kerajaan Kelantan mengamalkan konsep tiada jurang yang sangat besar di antara kebajikan pekerja dengan kedudukan majikan bagi menjamin persamaan kemanusiaan di antara hubungan pekerja dengan majikan.

Menurut Exco Kanan kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa, asas majikan dan pekerja ialah takwa di mana majikan mesti takutkan Allah tidak menindas pekerja dan pekerja pula tidak akan mencuaikan amanah yang diberikan oleh majikan.

Beliau berkata, majikan yang baik terdiri daripada mereka yang tahu apa keperluan pekerjanya dan pada masa yang sama pekerja juga tahu apa yang dikhendaki oleh majikan.

"Hubungan dua hala di antara majikan dengan pekerja amat mustahak bagi menjamin kesejahteraan," katanya dalam ucapan di Perhimpunan Pekerja 2008 dan Wacana Kebangsaan ke-3, di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini.

Beliau mencadangkan asas di atas perlu dilaksanakan di sektor perladangan kerana pekerjanya masih tertindas.

Dalam ucapan tersebut beliau memberi contoh langkah awal yang diambil oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan memperkenalkan cuti hujung minggu selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu.

Katanya, Tuan Guru telah dikritik teruk oleh pihak kerajaan Pusat yang mendakwa kerajaan Kelantan mengajar rakyatnya malas.

Bagaimanapun, tambah beliau lima tahun kemudian kerajaan Pusat telah meniru cara yang dilaksanakan oleh Kelantan memberi cuti dua hari kepada pekerja.

Katanya, kerajaan Kelantan yang memberi cuti dua hari itu tidak bermakna rakyatnya rehat terus tetapi setiap hari Jumaat diisytiharkan sebagi hari Ilmu dan Tuan Guru Nik Aziz akan memberi kuliah mingguan untuk seluruh rakyat tetapi masih belum disiarkan secara langsung oleh RTM.

Manakala tambah beliau, hari Sabtu merupakan hari keluarga supaya interaksi keluarga menjadi lebih rapat.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan membina pekerja dalam konteks mereka adalah ahli sebuah keluarga dan mereka apabila mencapai kedudukan yang lebih baik kita harap akan melimpah kepada keluarga mereka untuk mempunyai satu tahap kesejahteraan yang lebih tinggi.

"Kerana itu saya rasa Tuan Guru Nik Aziz bukan saja layak mentadbir Kelantan tetapi turut layak mentadbir negara begitu juga dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Menurut beliau, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya; "Jika sekiranya kamu mengambil pekerja kamu berikan mereka makan apa yang kamu makan, dan kamu berikan pakaian apa yang kamu pakai."

Ini kerana katanya, bagi mengelakkan jurang yang besar di antara majikan dengan pekerja.

Selain itu beliau turut mencadangkan kepada kerajaan Selangor yang akan melaksanakan cuti bersalin selama 90 hari supaya 10 hari diberikan sebelum tarikh bersalin kerana masalah wanita mengandung selepas bersalin dan hari-hari terakhir sebelum bersalin. - mks.

Oleh Saidah Sairan
Dipetik dari laman Harakahdaily

No comments: