Wednesday, July 2, 2008

Cadang Kerajaan Beli Syarikat Konsesi Tol

SHAH ALAM 28 Jun - MCA Selangor mencadangkan kerajaan mengambil alih 19 buah syarikat konsesi lebuh raya yang beroperasi di Lembah Klang dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat ekoran kenaikan harga minyak.

Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Selangor, Datuk Tang See Hang berkata, langkah itu bukan sesuatu yang mustahil kerana kerajaan mempunyai kemampuan hasil keuntungan Petronas dan pengurangan subsidi minyak.

Malah katanya, kerajaan juga memegang ekuiti sebanyak 74 peratus dalam Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menerusi Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Oleh yang demikian, kerajaan hanya perlu membeli sebanyak 1.3 bilion saham yang bernilai RM3.67 bilion untuk memiliki sepenuhnya PLUS.

"Dengan cara ini, kerajaan boleh memansuhkan atau mengurangkan bayaran tol dan sekaligus mengurangkan beban rakyat.

"Kita berharap kerajaan mengambil langkah perlu untuk melaksanakan cadangan ini secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan MCA Selangor di sini hari ini.

Tambah See Hang, MCA akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed untuk membincangkan cadangan itu termasuk menyerahkan memorandum tersebut pada 7 Julai ini.

Ini kerana katanya, Selangor merupakan negeri paling banyak mempunyai tol dengan 15 syarikat termasuk empat lebuh raya yang sedang dalam pembinaan.

Dalam pada itu, See Hang turut meminta kerajaan membuat pengumuman terbuka termasuk terma dan syarat yang dibuat dengan syarikat-syarikat pemegang konsesi lebuh raya.

Katanya, pengumuman berkenaan membolehkan rakyat mengetahui dengan lebih jelas perjanjian yang dibuat bagi mengelakkan timbul sebarang keraguan rakyat kepada kerajaan.

"Dakwaan yang mengatakan terdapat fail-fail sulit mengenai perjanjian lebuh raya yang tidak boleh didedahkan, kini didapati sudah tidak lagi dapat diterima oleh rakyat.

"Oleh itu, kerajaan juga perlu memperjelaskan kepada rakyat mengenai perkara tersebut selain mengkaji dan mempertimbangkan semula perjanjian lebuh raya sekiranya terdapat terma dan syarat yang tidak menguntungkan rakyat," ujarnya.

Oleh Abdul Yazid Alias
Dipetik dari laman Utusan Online, 29 Jun 2008

Komen

Sebuah cerita lama yang diberi nafas baru. Namun usaha ini wajar diteruskan.

No comments: