Tuesday, July 1, 2008

BSBA Tidak Halang Ahli Naik Tambang

BINTULU 26 Jun - Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bintulu (BSBA) tidak akan menghalang ahli-ahlinya daripada meneruskan cadangan menaikkan tambang bas sekolah meskipun ia bercanggah dengan seruan kerajaan.

Pengerusinya, Doris Daha Bujang berkata, persatuan tidak ada kuasa untuk menghalang ahli-ahlinya daripada meneruskan cadangan menaikkan tambang bas berkuat kuasa hujung bulan ini.

"Saya mungkin boleh menerima seruan untuk mengekalkan kadar tambang, tetapi saya tidak boleh jamin semua ahli persatuan akan mengikut jejak saya."

"Saya juga tidak menyalahkan mereka disebabkan kami masih lagi membeli minyak diesel dan petrol mengikut harga pasaran," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Bintulu, Zaedy Nor Abu Nasir yang menyatakan tambang bas sekolah di Bintulu tidak akan dinaikkan pada Julai ini.

Doris berkata, ahli-ahli persatuan pastinya akan menimbangkan semula cadangan tersebut sekiranya mereka dapat menikmati minyak pada harga subsidi.

"Kita faham, dalam keadaan sekarang iaitu ahli-ahli membeli minyak mengikut harga pasaran terlalu sukar bagi ahli-ahli untuk mengekalkan kadar tambang sedia ada," katanya.

Katanya, pemberian segera kad fleet kepada semua ahli perlu dipertimbangkan segera supaya ahli persatuan boleh meneruskan operasi dengan mengekalkan kadar tambang sedia ada.

"Sehubungan itu, ibu bapa pelajar juga harus faham dengan situasi kami sekarang yang berdepan dengan kenaikan harga minyak, kos membaiki, harga alat ganti dan sebagainya," kata beliau.

Semalam Zaedy dilaporkan berkata, masih banyak ahli BSBA yang tidak tahu menggunakan kemudahan subsidi yang disediakan.

"Ada di antara mereka mempunyai kad fleet, tetapi tidak mendapat nombor pin bagi membolehkan mereka menikmati subsidi minyak.

Inilah menyebabkan masalah timbul," katanya. Bagaimanapun kata beliau, selepas satu perbincangan diadakan bersama wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Isnin lalu, beberapa perkara sudah dipertimbangkan termasuklah mengekalkan kadar tambang sedia ada.

Dipetik dari laman Utusan Online, 27 Jun 2008

Komen

BN seperti tidak berminat dengan isu tambang bas sekolah. Namun Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bintulu (BSBA) masih mempunyai pilihan lain iaitu Pakatan Rakyat. Setelah lebih 50 tahun diberi peluang mentadbir negara, prestasi mereka sentiasa tidak memuaskan. Kini tiba masanya negara ditadbir oleh golongan berprestasi tinggi. Sekarang ini bukannya tahun 50'an. Negara sedang melangkah ke arah zaman k-ekonomi. Cara mentadbir negara mestilah sesuai dengan zaman.

No comments: