Thursday, July 3, 2008

Kesan Kenaikan Harga Minyak ke Atas Motivasi Pekerja (XXV)

CUEPACS Tuntut COLA RM500

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (cuepacs) menuntut kerajaan menaikkan kadar elaun kos sara hidup (Cola) kepada RM500 sebulan untuk semua kakitangan awam tanpa mengira kawasan.

Presiden cuepacs, Omar Osman berkata, langkah itu perlu memandangkan semua kakitangan awam ketika ini terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.

"Saya sedih melihat hidup kakitangan kita yang semakin terhimpit berikutan kenaikan harga minyak. Apabila minyak naik semua barang naik dan ini memberi kesan kepada kehidupan ahli-ahli kita."

"Walaupun kerajaan telah menaikkan gaji 10 bulan lalu ia tidak cukup kerana kenaikan minyak kali ini terlalu tinggi. CUEPACS meminta kerajaan menerima tuntutan ini (Cola RM500) bagi meringankan beban anggota sektor awam," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kongres CUEPACS di Ibu Pejabat CUEPACS di sini hari ini.

Tuntutan Cola RM500 untuk semua kakitangan merupakan salah satu daripada enam perkara yang diputuskan di dalam mesyuarat tersebut.

Omar memberitahu, pada masa ini semua kakitangan kerajaan menikmati imbuhan Cola antara RM100 hingga RM300 iaitu bergantung kepada lokasi bekerja.

Katanya, dalam mesyuarat itu, CUEPACS juga sebulat suara menolak pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti cadangan Kabinet sebelum ini.

Beliau berkata, meskipun cadangan itu dianggap baik tetapi pada hakikatnya ia tidak banyak membantu kakitangan kerajaan untuk mengurus perbelanjaan mereka.

"Katakanlah seorang kakitangan menerima gaji sebanyak RM1,100 sebulan dan selepas ditolak itu dan ini, yang tinggal hanya RM500 atau RM450," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, CUEPACS bersetuju jika kerajaan memberi gaji dua minggu sekali.

"Jika sistem ini kami setuju kerana pada akhirnya iaitu secara keseluruhannya jumlah bulan yang dibayar adalah sebanyak 13 bulan dan bukan 12 bulan," tambahnya.

Oleh Saifulizam Mohamad
Dipetik dari laman Utusan Online, 29 Jun 2008

Walaupun harga petrol berada di sekitar RM7.15 seliter di Jerman, namun jurutera tanpa pengalaman kerja dibayar sekitar RM14,000 sebulan.Menetapkan gaji minima RM900 atau RM1500 tidak mencukupi. Gaji minima di sekitar RM4500 lebih sesuai untuk suasana bisnes di Malaysia.

Jerman dan lain-lain negara boleh tetapi Malaysia tidak boleh?

No comments: