Wednesday, July 2, 2008

Pertumbuhan Sektor Pembuatan Mungkin Perlahan

KUALA LUMPUR 27 Jun - Prestasi sektor pembuatan akan menjadi lebih perlahan jia ia tidak dapat diselaraskan dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini, demikian menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, FMM berkata, maklum balas yang diterima dari sektor tertentu industri itu menunjukkan kenaikan harga tenaga, dari minimum 15 peratus sehingga setinggi 130 peratus, akan memberi kesan buruk yang bakal menghakis margin dan malah sehingga mencatatkan kerugian.

"Dengan ini, wujud keperluan segera untuk mempercepatkan program mengenai kecekapan penggunaan sumber tenaga, yang termasuk kajian mengenai harga dan skim subsidi. Yang turut diperlukan ialah dasar baru tenaga dan strategi oleh kerajaan," katanya.

FMM berkata, penjelasan dari kerajaan berguna dalam memahami kekurangan unjuran dalam prestasi pembuatan di segi keluaran dan eksport.

Prestasi asal pembuatan di segi pengeluaran dan eksport dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) masing-masing telah disemak semula kepada 4.1 peratus dan 8.1 peratus daripada 6.7 peratus dan 9.3 peratus sebelum itu.

Mengenai semakan semula RMK-9, FMM berkata, ia menggalakkan dan meyakinkan sektor perniagaan untuk memahami bahawa ekonomi negara ini masih berada pada landasan untuk berkembang.

FMM telah melahirkan kepuasan dengan jaminan tambahan dari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan akan terus mengekalkan dan menambah baik paras semasa ketelusan dan perjanjian pemegangan saham sektor awam.

"Isu ekonomi dan cabaran boleh ditangani bagi memastikan keefisienan yang lebih meluas dalam penggunaan sumber yang dapat mendorong kepada nilai wang lebih baik dalam pelaburan perniagaan dan perdagangan.

"Ini sebaliknya akan mendorong kepada taraf kehidupan yang lebih baik bagi rakyat," katanya.

Secara keseluruhannya, FMM turut tertarik dengan senarai komitmen dasar dalam laporan RMK-9 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Dipetik dari laman Utusan Online, 28 Jun 2008

Komen

Apakah ini ialah indikator untuk meningkatnya bilangan siswazah menganggur dan kilang-kilang menutup operasi lalu berpindah ke negara lain?

No comments: