Tuesday, July 1, 2008

Pengilang Digesa Tetapkan Kadar Gaji Munasabah

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam mencadangkan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menetapkan amaun munasabah sebagai gaji minimum bagi pekerja dalam sektor pembutan berikutan kenaikan harga minyak dan kos hidup sekarang.

Beliau berkata, majikan boleh menggariskan struktur gaji mereka sendiri berdasarkan prestasi dan produktiviti industri itu.

Bagaimanapun, katanya ia mestilah struktur gaji standard bagi sektor pembuatan.

Dr. Subramaniam berkata, beliau berjumpa wakil FMM baru-baru ini dan mengesyorkan mereka merumuskan struktur gaji mereka sendiri yang dapat diterima dan munasabah.

"Kami mahu FMM merumuskan amaun munasabah bagi pekerja sektor pembuatan daripada eksekutif tertinggi sehingga kategori pekerja paling rendah," katanya dan menurutnya FMM menerima baik cadangan itu.

Laporan FMM mendedahkan 88 peratus syarikat pembuatan yang dikaji selidik memberikan kenaikan gaji pada purata 5.62 peratus kepada eksekutif dan 5.52 peratus kepada bukan eksekutif pada 2007.

Hasil kaji selidik itu menurut FMM, menunjukkan penurunan mata peratusan sebanyak 0.46 dalam kenaikan gaji bagi eksekutif, berbanding pada 2006 (6.08 peratus).

Kenaikan gaji bagi bukan eksekutif juga lebih rendah pada kadar mata peratusan 0.4 berbanding 5.92 peratus pada 2006.

FMM juga berkata, bagi tahun ini, 116 responden dari kaji selidik itu menyatakan yang mereka akan membayar kenaikan kepada eksekutif pada purata 5.92 peratus atau kenaikan mata peratusan 0.3.

Katanya begitu juga, 120 responden mengunjurkan untuk membayar kenaikan lebih tinggi kepada bukan eksekutif pada purata 5.73 peratus atau kenaikan mata peratusan 0.21 pada 2008.

Dipetik dari laman Utusan Online, 28 Jun 2008

Komen

Walaupun harga petrol berada di sekitar RM7.15 seliter di Jerman, namun jurutera tanpa pengalaman kerja dibayar sekitar RM14,000 sebulan.

Menetapkan gaji minima RM900 atau RM1500 tidak mencukupi. Gaji minima di sekitar RM4500 lebih sesuai untuk suasana bisnes di Malaysia. Ini kerana pendapatan purata rakyat yang lebih tinggi membantu merancakkan ekonomi negara. Rakyat mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanja apabila pendapatan purata rakyat yang lebih tinggi. Kerajaan dapat mengutip lebih banyak cukai apabila bisnes rancak. Bisnes yang rancak juga membuka lebih banyak peluang kerja.

Kadar gaji munasabah sukar ditetapkan kerana pengilang sangat taksub untuk membuat untung. Tambahan pula cara mengurus akaun syarikat tidak telus.

Namun, amaun munasabah bagi pekerja sektor pembuatan daripada eksekutif tertinggi sehingga kategori pekerja paling rendah ialah sesuatu yang harus difikirkan. Tetapi, berapakah untung munasabah yang harus dicatat oleh pengilang? Pengilang menghadapi dilema di antara melunaskan tanggungjawab sosial dengan membuat untung yang banyak. Apabila diberi pilihan, pengilang selalunya lebih cenderung untuk membuat untung yang banyak sambil mengketepikan tanggungjawab sosial. Pada masa yang sama, pengilang terus memainkan PR di kalangan masyarakat untuk menunjukkan kepada semua orang bahawa merekalah sebenarnya jaguh tanggungjawab sosial.

No comments: