Monday, June 9, 2008

Blog Mengenai Belajar Perubatan di Mesir Secara Persendirian

Blog http://perubatandimesir.blogspot.com/ diwujudkan untuk menangani isu belajar perubatan di Mesir secara persendirian. Blog ini menerangkan cara-cara untuk mendapat tempat secara sah di IPT Mesir dan contoh kos belajar perubatan di Universiti Mansoura. Terdapat beberapa isu yang menyelubungi hal belajar perubatan di Mesir secara persendirian. Antaranya ialah tingkahlaku beberapa agensi membawa pelajar ke Mesir yang mengambil untung di atas kealpaan pelajar. Pelajar boleh mengurangkan kos yang tidak perlu apabila dia boleh mengharungi proses memohon tanpa melibatkan agensi. Selain itu, kemasukan pelajar-pelajar yang tidak mengikut syarat kelayakan akademik yang telah ditetapkan boleh menjejaskan masa depan pengiktirafan badan-badan yang sah di Malaysia terhadap lulusan perubatan dari Mesir pada masa akan datang.

------------------------------------------------------------------------------

Berikut ini ialah entri dari blog Tuan Fateh Amjad mengenai isu yang sama.

Sejarah penghantaran pelajar dalam bidang perubatan di Mesir telah bermula sejak tahun 70-an. Dari dahulu sehinggalah tahun 2004 kuota pelajar dari Malaysia hanyalah 20 orang setiap tahun bagi mengisi tempat di 6 buah universiti yang diiktiraf oleh JPA dan MMC. Kuota ini tidak termasuk kursus perubatan yang ditawarkan di universiti al-Azhar kerana al-Azhar berada di bawah pentadbiran kementerian yang berbeza.

Bilangan kuota daripada 20 tempat telah dinaikkan kepada 40 tempat pada tahun 2005. Namun atas inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia, semasa itu menterinya adalah Dato' Mustafa Mohamed telah menjalinkan MoU dengan universiti-universiti tertentu bagi membolehkan jumlah pelajar yang boleh mendapatkan tempat di sini ditambah.

Tahun 2006 menyaksikan pertambahan generasi pelajar perubatan di Ardu Kinanah ini bertambah secara mendadak. Pada masa yang sama bermulanya juga usaha-usaha daripada agensi-agensi tertentu untuk menjalinkan MoU bagi tujuan yang sama.

Tahun 2006 juga merintis sejarah baru bila generasi pertama pelajar yang diuruskan oleh agensi tertentu mula sampai dan belajar di sini. Kejayaan agensi ini pada percubaan pertama mereka diteruskan secara intensif pada tahun berikutnya. Bahkan kejayaan mereka mula membuka mata agensi-agensi yang lain di negara kita untuk mengikuti jejak langkah yang sama.

Iklan di radio, akhbar dan khabarnya di television kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk menyambung pengajian di sini sangat meresahkan saya. Seolah-olah bidang perubatan di Mesir ini boleh dibeli dengan wang ringgit.

Terus terang saya katakan lambakan agensi yang mula bercambah subur untuk menghantar pelajar ke Mesir sebenarnya berteraskan keuntungan. Dengan berselindung di sebalik slogan-slogan 'membantu mereka yang berminat' diperkuatkan lagi hujah mereka untuk 'membantu Melayu dan Islam' hakikatnya hanyalah untuk membantu memenuhkan kantung kewangan mereka.

Kelayakkan yang minimum yang ditawarkan oleh agensi tertentu antaranya yang mampu saya petik ialah :

"Sekurang-kurangnya 5 Kepujian dengan 4B bagi mata pelajaran Sains dan Matematik untuk Kursus Perubatan dan Pergigian."

Sedangkan pihak KPT dalam panduan rasmi untuk calon-calon pelajar perubatan di Mesir berbunyi sedemikian :

"Setiap pemohon yang berhasrat untuk mengikuti pengajian bidang perubatan di universiti Mesir hendaklah memenuhi syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Mesir iaitu mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperolehi Kepujian dengan sekurang-kurangnya 3B dalam semua mata pelajaran."

Dengan bahasa dan ayat yang lainnya ialah anda perlu mendapat 96% daripada keputusan SPM (berdasarkan kiraan yang dibuat oleh pihak KPT Mesir) untuk universiti selain al-Azhar dan 86% daripada sijil SPM untuk calon perubatan al-Azhar.

Untuk datang mendapat tempat yang sah di sini calon-calon mestilah mendapat hitam putih daripada KPT Malaysia dan KPT Mesir di samping mempunyai Surat Sokongan Luar Negara (SSLN). Tidak semua permohonan di KPT Malaysia akan mendapat kelulusan, oleh itu calon-calon mestilah jelas akan status permohonan mereka sebelum datang ke sini. Tidak semata-mata berpuas hati apabila borang permohonan mereka dihantar ke KPT Malaysia. Ada kes pelajar ditawarkan oleh sebuah agensi untuk belajar di sini tapi pada hakikatnya nama beliau tidak diluluskan oleh pihak KPT Mesir.

Antara lainnya lagi, yuran yang dinyatakan dalam iklan agensi tertentu sama sekali tidak tepat dengan kadar yuran sebenar. Saya tidak mahu ramai ibubapa yang berhajat untuk melihat anak-anak mereka bakal menjadi doktor satu hari nanti terbeban dengan yuran pengajian dan kos hidup anak-anak mereka setelah tahu jumlah yang sebenarnya. Sekali melangkah ke sini, adalah satu keaiban bagi ibubapa apabila anak mereka pulang tanpa menamatkan pengajian atas alasan kewangan.

Ramai pelajar yang sedar mereka telah tertipu apabila tiba di Mesir. Yuran, kos hidup dan cas-cas yang dikenakan atas alasan 'kebajikan pelajar' juga kemudahan untuk mendapatkan tajaan antara bebanan yang menyiksakan. Pelbagai ragam dan masalah yang timbul, tapi bukanlah tujuan saya untuk membongkarkannya satu persatu.

Akhirnya, sekali lagi saya nasihatkan kepada pemohon-pemohon dan ibubapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sini agar tidak tertipu dengan agensi-agensi yang menawarkan khidmat penghantaran pelajar ke Mesir. Calon-calon mestilah jelas status mereka di peringkat KPT Malaysia dan KPT Mesir, juga jelas saluran yang mereka lalui untuk datang ke sini agar tidak tertipu.

Sebarang keraguan hendaklah di rujuk kepada KPT Malayisa, bukannya pihak agensi-agensi yang menanam tebu di tepi bibir.

AbuFateh.
(Ahmad Muhaimin Mustapha)
Tahun 6, Universiti Kaherah.

2 comments:

Idwan said...

apa yang patut saya buat skrg utk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan di mesir....saya sudah ditemuduga utk tajaan JPA ...saya juga terima tawaran dr beberapa syarikat..

Dr. Ir. AKUMAS said...

salam.. sy skrang blaja dlm course bachelor medical science (BMS) di management and science university (MSU).. sy amat berminat untuk meneruskan program sy yg seteursnya dalam bidang perubatan di mesir.. adakah ada cara laen yg membolehkn sy mengikuti program perubatan di mesir dengan melakukan transfer kredit di malaysia ke mesir selepas menamatkan ijazah di malaysia??