Saturday, June 28, 2008

Kesan Kenaikan Harga Minyak ke Atas Motivasi Pekerja (XX)

Permit Perniagaan Kecil Bantu Rakyat Berpendapatan Rendah – PM

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan akan mengeluarkan permit perniagaan kecil kepada rakyat berpendapatan rendah yang ingin menambah pendapatan mereka sebagai sebahagian usaha meringankan beban ekonomi berikutan kenaikan harga minyak, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, kakitangan kerajaan juga boleh memohon mendapatkan permit ini yang merangkumi permit perniagaan dan penjaja kecil seperti di pasar tani, pasar malam dan lokasi di kawasan perumahan yang ditentukan dan yang masih ada ruang untuk penambahan perniagaan.

"Permit-permit ini diberi dalam jangka pendek ataupun jangka panjang ikut keperluan pemohon," katanya kepada pemberita selepas memberi amanat di majlis taklimat khas mengenai penstrukturan semula subsidi kepada Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini hari ini.

Menjawab satu soalan, Abdullah berkata kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang berminat perlu meminta keizinan daripada ketua jabatan dan perniagaan mereka tidak harus mengganggu tugas dan tanggungjawab di pejabat.

"Kalau ini tidak akan menyebabkan mereka mengabai tugas dan tanggungjawab mereka (di pejabat), mereka boleh (memohon)... (tapi) bergantung kepada permohonan mereka dan pertimbangan ketua-ketua jabatan," katanya.

Dipetik dari laman Utusan Online, 22 Jun 2008

No comments: