Sunday, June 29, 2008

Kesan Kenaikan Harga Minyak ke Atas Motivasi Pekerja (XXIII)

Jauhi Penyelewengan Pemberian Permit Perniagaan

Golongan berpendapatan rendah negara ini yang berminat bidang perniagaan kecil kini mendapat berita baik apabila kerajaan bersedia mengeluarkan permit niaga kepada mereka sebagai satu lagi langkah proaktif meringankan beban mereka akibat kenaikan harga minyak dan barangan.

Dalam suasana sekarang golongan berpendapatan rendah paling terasa keperitan kerana serba-serbi harga barangan dan makanan mahal. Wang gaji yang diterima pada hujung bulan kian susut nilainya apabila harga barangan meningkat naik.

Mahu tidak mahu kepala rumah tangga dan dibantu suri rumah perlu membuat kerja sampingan bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

Amalan membuat dua kerja dalam sehari yang mana satu kerja hakiki dan satu lagi kerja sambilan bagi golongan berpendapatan rendah adalah satu perkara yang terpaksa dilakukan.

Kini dengan pengeluaran permit perniagaan untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang di- harap membuka ruang dan peluang untuk mereka menceburi perniagaan dan memperolehi pendapatan lebih.

Bagaimanapun, kerajaan perlu juga memberi latihan dan etika perniagaan yang asas kepada golongan yang baru terjun ke dalam bidang yang mencabar ini.

Di samping itu, kemudahan pinjaman modal perlu diberi perhatian agar golongan peniaga yang mendapat permit itu tidak terperangkap dengan janji peminjam wang berlesen yang mengenakan kadar faedah yang tinggi. Perkara ini perlu diberi keutamaan jika kita ingin membantu mereka.

Dalam kesungguhan kerajaan mahu membela rakyat dengan meluaskan peluang untuk mereka berniaga secara kecil-kecilan, pengalaman dan masalah pemberian permit pada masa lalu harus menjadi pengajaran.

Kita tidak mahu mendengar pemberian permit itu dibolot oleh pihak tertentu dan bukan golongan sasaran.

Kerajaan perlu awasi pihak tertentu yang cuba mencari wang segera dengan menyewakan atau mengalibabakan permit perniagaan terutama kepada warga asing.

Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa digesa supaya lebih berhati-hati dalam memberikan lesen dan permit kepada warga tempatan.

Gejala menjual, menyewa atau mengalibabakan permit perniagaan sebagai tindakan yang melampau dan tindakan yang paling tegas perlu dilakukan. Kita harus insaf, perbuatan pihak yang tidak amanah memberi atau menerima permit itu untuk tujuan peribadi akan merosakkan nama baik dan tujuan murni pemimpin negara.

Mereka perlu awal-awal diperingatkan bahawa masih banyak lagi warga tempatan yang miskin dan patut dibela.

Rakyat berpendapatan rendah perlu mendapat peluang dan ruang untuk meraih rezeki dalam bidang perniagaan.

Dipetik dari laman Utusan Online, 24 Jun 2008
Komen
Mampukah rakyat berpendapatan rendah memberikan tumpuan penuh terhadap kerja apabila mereka mendapat permit perniagaan baru? Ini kerana ramai rakyat berpendapatan rendah sudah mempunyai komitmen lain seperti menjalankan perniagaan yang sedia ada, mengusahakan tanah milik keluarga, membawa teksi, melakukan kerja sambilan dan sebagainya?

No comments: