Wednesday, June 25, 2008

Langkah Memperolehi Rezeki Yang Berkat – Beriltizam Dengan Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha dilakukan di antara tinggi matahari segalah hingga tergelincir matahari. Waktu terbaik untuk mengerjakan solat Dhuha ialah ketika matahari terik. Imam Nawawi menghuraikan masa afdal untuk mengerjakannya sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari.

Persoalan yang sering timbul berkaitan solat ini adalah dari segi keutamaannya kerana ia berada dalam waktu bekerja. Bekerja sendiri atau menjadi majikan kepada diri sendiri lebih mudah menetapkan waktu untuk mengerjakan solat ini berbanding dengan kerja makan gaji. Cara seseorang itu mengendalikannya mestilah seimbang dan saksama antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan ukhrawi.

Solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana tempat, maka lebih baik ia menjadi rutin harian selagi tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Ia boleh dikerjakan sekurang-kurangnya dua raka’at. Boleh juga dikerjakan empat raka'at, enam raka'at, atau lapan raka'at. Menurut Imam Nawawi bilangan yang masyhur adalah antara dua hingga lapan rakaat.

Mengerjakan solat sunat Dhuha empat rakaat (dilakukan secara dua kali salam) bersandarkan kepada hadis Aishah (Riwayat Imam Abu Daud) yang menjelaskan bahawa Nabi melakukannya sebanyak empat rakaat.

Begitu juga hadis Qudsi yang disampaikan oleh Nu'aim yang bermaksud, "Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat Dhuha. Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang dikau jalani." (Riwayat Abu Daud)

Solat ini boleh juga dilakukan sebanyak enam rakaat (dengan tiga kali salam) seperti hadis Nabi yang disebutkan oleh Jabir bin Abdullah. (Riwayat Thabrani)

Menurut mazhab jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat ini hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sedangkan Imam Abu Hanifah hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

Kelebihan solat sunat Dhuha dinyatakan oleh Nabi saw dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud, "Wahai anak Adam, solatlah untukKu empat raka'at pada awal siang, nescaya Aku akan mencukupkan bagimu pada akhirnya. " (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Lafaz niat solat sunat dhuha bermaksud, "Sahaja aku solat sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah swt."

Bacaan yang dianjurkan oleh Nabi dalam solat ini seperti menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Bila melakukan solat sunat dhuha, berdoalah kepada Allah swt supaya Allah swt membuka pintu rezeki. Terdapat doa yang Nabi saw anjurkan untuk dibaca bagi memperolehi rezeki yang banyak.

Sebuah doa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Thabrani bermaksud, "Wahai Allah, jadikanlah aku antara kalangan hambaMu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat daripada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezeki yang Engkau sebarkan, dan mudarat yang Engkau selamatkan (daripada menimpa hamba-hambaMu), dan bala yang Engkau angkatkan (daripada menimpa hamba-hambaMu), dan fitnah yang Engkau jauhkan (daripada menimpa hamba-hambaMu), dan keburukan yang Engkau hindarkan (daripada menimpa hamba-hambaMu)." Doa tersebut dalam bahasa Arab boleh didapati dari kitab-kitab hadis dua periwayat itu atau Da’ie al Falah oleh al Suyuti mukasurat 61. Doa itu dibaca agar mendapat peluang bisnes dan mendapat rezeki yang paling banyak. Di samping itu, kita mestilah sentiasa bersangka baik terhadap Allah swt supaya pada satu masa kelak Allah swt akan membuka pintu rezeki untuk kita.

Sebuah doa lain yang biasa dibaca bermaksud, "Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuhaMu, keagunganMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh."



Nota : Baris 5 “wa in….” (alif baris bawah kurang jelas)

No comments: