Saturday, June 28, 2008

Kesan Kenaikan Harga Minyak ke Atas Motivasi Pekerja (XXII)

Peluang Berniaga - Kerajaan Sedia Permit Bantu Golongan Pendapatan Rendah – PM

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kerajaan akan mengeluarkan permit perniagaan kecil untuk golongan berpendapatan rendah sebagai satu lagi langkah proaktif meringankan beban mereka akibat kenaikan harga minyak dan barangan.

Kakitangan awam yang turut terbeban dengan peningkatan kos sara hidup kesan kenaikan harga bahan api itu juga boleh memohon permit berkenaan untuk menjalankan kerja sambilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, permit berkenaan melibatkan perniagaan dan penjaja kecil seperti di pasar tani, pasar malam dan kawasan perumahan yang masih mempunyai ruang untuk kegiatan itu.

"Bagaimanapun, kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang berminat perlu meminta keizinan terlebih dahulu daripada ketua jabatan supaya tidak mengganggu tugas dan tanggungjawab di pejabat."

"Sekiranya langkah ini tidak menyebabkan mereka mengabai tugas dan tanggungjawab, mereka boleh (memohon) tetapi bergantung kepada permohonan dan pertimbangan ketua jabatan masing-masing," jelasnya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat khas mengenai penstrukturan semula subsidi kepada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, permit-permit berkenaan diberi untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang mengikut keperluan pemohon.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam menghadapi beban kenaikan bahan api itu.

Langkah tersebut, kata beliau, telah dipersetujui tetapi memandangkan perkara itu melibatkan isu cukai maka ia perlu diteliti oleh Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, jelas Perdana Menteri, keputusan tersebut akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Walaupun pada peringkat awal Kementerian Kewangan mencadangkan perkara ini diumumkan dalam pembentangan bajet Ogos ini, saya fikir jika ia dilaksanakan dua bulan lebih awal ia boleh membantu golongan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, arahan tertentu bagi mencapai kecekapan tenaga dan penjimatan dalam penggunaan pelbagai tenaga seperti petrol dan elektrik perlu dikeluarkan.

"Kita akan berusaha mencari sumber lain untuk tenaga seperti solar, tenaga angin serta biofuel selain kemungkinan membangunkan nuklear sebagai sumber tenaga."

"Bagaimanapun, bagi tenaga nuklear, ia perlu diperhalusi sebab sisa nuklear bukan satu perkara yang mudah dilupuskan," jelasnya.

Selain itu, Perdana Menteri juga meminta rakyat memainkan peranan dengan mengubah gaya hidup agar tidak melakukan pembaziran.

"Saya bukanlah hendak cadangkan kita ini semua jadi kedekut. Cuma jangan membazir," katanya.

Abdullah menambah, pembaziran perlu dielakkan bukan sahaja pada masa senang tetapi ketika menghadapi kesusahan.

Oleh Fauziah Arof
Dipetik dar laman Utusan Online, 23 Jun 2008

No comments: