Sunday, June 29, 2008

Kesan Kenaikan Harga Minyak ke Atas Motivasi Pekerja (XXIV)

Pemberian Permit Perniagaan Jejas Pendidikan Negara

MIRI 23 Jun - Jabatan Pelajaran Sarawak khuatir pemberian permit perniagaan kecil kepada kakitangan awam termasuk guru akan menjejaskan masa depan pendidikan negara.

Pengarahnya, Julaihi Bujang berkata, langkah itu juga akan menambah beban kerajaan serta boleh menyebabkan golongan itu hilang fokus terhadap usaha mendidik generasi muda.

Beliau berkata, perkara yang dibimbangi sekarang adalah kehilangan fokus untuk mendidik kerana tumpuan mereka sudah tentu kepada perniagaan.

"Saya menghargai kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membantu kakitangan awam menambah pendapatan dengan menceburi perniagaan kecil-kecilan."

"Namun, hakikat yang tidak dapat dielakkan ialah jika ramai guru yang mengusahakan perniagaan, ia akan menyebabkan mereka hilang tumpuan terhadap usaha mendidik generasi muda," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Pengurusan Pendidikan 2008 di sini hari ini.

Ketika ini, terdapat kira-kira 650,000 kakitangan awam yang berada dalam kategori pendapatan bulanan RM2,500 ke bawah.

Pemberian permit itu antara keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat termasuk kaki tangan awam khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Ia juga sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban ekonomi rakyat berikutan kenaikan 40 peratus harga minyak di negara ini.

Perniagaan kecil itu merangkumi seperti penjaja pasar tani, pasar malam dan peniaga di kawasan perumahan.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan melayan permohonan guru-guru di Sarawak untuk mendapatkan pelepasan cuti tanpa gaji tanpa alasan munasabah.

"Saya terpaksa tolak permohonan cuti seperti itu kerana pelajar mungkin tertinggal sesi pembelajaran tertentu akibat tindakan tidak bertanggungjawab guru terbabit," katanya.

Dipetik dari laman Utusan Online, 24 Jun 2008

No comments: